SARIKEI: Pemimpin di peringkat akar umbi harus memainkan peranan dengan proaktif dalam menyampaikan dasar dan maklumat kerajaan kepada rakyat.

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datu Len Talif Salleh menegaskan maklumat perlu dikongsi agar semua pihak tidak ketinggalan dan keliru mengenai dasar serta perancangan yang dibuat oleh kerajaan.

“Inilah tujuan program-program yang dianjurkan oleh kerajaan supaya maklumat dari agensi-agensi kerajaan ini dapat dikongsikan bersama terutama pada pemimpin di akar umbi dan supaya mereka dapat menyampaikan maklumat-maklumat ini kepada warga di akar umbi samada maklumat itu berupa pendidikan, kesihatan, keselamatan dan sebagainya.”

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berucap demikian dalam Program Pendidikan Komuniti Bersama Penduduk Kampung Sarikei di Dewan Pusat Aktiviti Perpaduan, Kampung Seberang Sarikei semalam.

Katanya, pembangunan infrastruktur, perhubungan, kesihatan dan keselamatan merupakan fokus utama kerajaan di seluruh Sarawak.

Pada masa sama, beliau menyeru pemimpin akar umbi menggunakan segala kemudahan dan teknologi yang sedia ada sebagai landasan pemacu ekonomi dan pembangunan sosial masyarakat.