Negara kita mewarisi sistem Westminster, iaitu sebuah sistem berparlimen yang kerajaannya mendukung sistem demokratik yang mempunyai  model kerajaan British atau berdasarkan parlimen United Kingdom.   Rata-rata negara Komanwel mengamalkan ciri-ciri yang terdapat dalam sistem ini. 

Antaranya ialah sistem demokrasi berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Ketua kerajaan atau eksekutif dikenali sebagai perdana menteri, lazimnya mempunyai majoriti terbesar atau diyakini mendapat sokongan majoriti oleh  Yang Dipertuan Agong. 

Parlimen pula ialah institusi perundangan tertinggi  negara yang berfungsi untuk menggubal undang-undang. Parlimen Malaysia terdiri daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Dewan Negara dan Dewan Rakyat.  Kerajaan British pula mempunyai House of Commons, iaitu Dewan Rakyat  dan House of Lords, iaitu Dewan Pertuanan yang di Malaysia dikenali sebagai Dewan Negara. 

Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan

Dalam sistem Parlimen Westminster yang diamalkan di kebanyakan negara Komanwel terdapat strategi untuk mengelakkan daripada mana-mana rang undang-undang tidak diluluskan.  Hal ini dilakukan dengan memeteraikan Confidence and Supply Agreement (CSA) atau  perjanjian keyakinan dan pembekalan (CSA). 

Perjanjian ini bermakna  satu usaha bagi mengelakkan parlimen tergantung,  maka parti pembangkang akan bersetuju tidak akan menentang kerajaan minoriti tipis melalui undi percaya,  mahupun undi bajet, namun mempunyai hak menentang peraturan atau undang-undang lain.

Perjanjian ini biasa dilakukan oleh negara-negara Komanwel. Misalnya kerajaan minoriti di Australia pimpinan Parti Buruh oleh Gillard terbentuk pada 2010 membuat perjanjian dengan ahli parlimen bebas dan parti pembangkang bagi elak bajet tidak diluluskan. Kerajaan British juga selepas pilihan raya umum 2017 juga memeterai ‘Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA)’ apabila Theresa May daripada Parti Konservatif kehilangan majoriti telah bersetuju untuk membuat perjanjian CSA dengan Parti Kesatuan Demokraktik.  

Di New Zealand amalan perjanjian CSA ini lazim berlaku, misalnya, pada tahun 2017, walaupun parti Nasional memperoleh lebih banyak undi daripada parti Buruh dalam pilihan raya, New Zealand First memilih untuk bergabung dengan Buruh untuk membantu mereka mengubah pemerintahan, dengan sokongan atas perjaniian kepercayaan dan bekalan (CSA) dari Parti Hijau  yang merupakan parti sayap kiri.

Dengan kata lain,  perjanjian keyakinan dan pembekalan (CSA) sangat diperlukan dalam konteks kedudukan kerajaan Perikatan Nasional  kerana mempunyai majoriti tipis dan mudah  dikalahkan secara terancang atau secara teknikal. Maka, langkah mengadakan perjanjian CSA ini  adalah untuk memastikan rang undang-undang perbekalan atau usul percaya diluluskan di dewan perundangan. Namun  memeterai perjanjian ini tidak pula menghambat mereka daripada mengemukakan cadangan atau idea yang bertentangan bagi memastikan sentiasa wujud semak dan imbang dalam parlimen. 

Sekiranya, termeterai perjanjian ini, Pakatan Harapan dan parti bebas lain akan bertindak menyokong atau sekurang-kurang tidak mengundi agar usul Bajet 2021 kerajaan atau usul lain dapat diluluskan dan ini sesuai dengan sistem parlimen Westminster.  Maka, fokus menangani pandemik Covid-19 akan lebih dapat dilakukan apabila pertelingkahan politik berjaya diredakan. Ini akan meningkatkan keyakinan terhadap pemerintahan kerajaan semasa yang mampu berunding dengan musuh politik mereka dan berjaya menyelamatkan kerajaan daripada tumbang.  

Implikasi politik

Sekiranya terdapat perjanjian CSA ini dimenterai  di antara Perikatan Nasional dengan Pakatan Harapan dan parti-parti lain bermakna akan terdapat berlakunya kestabilan politik negara.  Tidak akan berlaku cadangan untuk melaksanakan darurat seluruh negara sebagaimana yang dilakukan oleh Perdana Menteri sebelum ini.   Perjanjian ini juga bermakna pembangkang menyokong Bajet 2021 dan implikasinya ialah bermakna kerajaan minoriti yang terbentuk oleh Langkah Sheraton yang dikritik pembangkang sebagai kerajaan pintu belakang, kini akan diiktiraf secara rasmi sebagai sebuah kerajaan yang sah  tanpa keraguan sebelum ini.

Akibat daripada implikasi ini, maka pembangkang akan lebih berhati-hati agar tidak terperangkap dalam mainan politik besar dalam perkara politik yang mereka cuba pertahankan. Di sinilah akan timbul rasa belah bahagi untuk membangkang untuk memeteraikan perjanjian ini. Sudah tentu dari kaca mata penyokong tegar mereka tidak akan berpuas hati kerana wakil rakyat yang mereka pilih akur dengan parti pemerintah, lantaran populariti wakil rakyat yang bersetuju akan dipertikaikan dan mungkin akan ditolak pada pilihan raya akan datang. Hal ini kerana tujuan rakyat memilih adalah memastikan parti mempunyai pendirian dan tidak berkompromi dengan parti lain.  Tambahan pula lebih baik, menyokong parti pemerintah pada masa akan datang  daripada parti pembangkang kerana tidak ada bezanya sikap dan pendirian parti. Inilah antara sentimen akar umbi yang akan berlegar kalangan penyokong tegar yang akan belah-bahagi terhadap wakil rakyat mereka. 

Langkah ini dapat menyelamatkan Perdana Menteri daripada menerima kegagalan dalam pembentangan bajet.  Sekiranya bajet tidak diluluskan, maka Perdana Menteri perlu meletak jawatan dan Yang Dipertuan Agong akan memutuskan calon lain yang diyakini mendapat majoriti sokongan di parlimen untuk mengambil alih jawatan perdana menteri.   Yang Dipertuan Agong  juga boleh mempertimbangkan pembubaran parlimen dilakukan jika kerajaan tumbang. Namun disebabkan oleh pandemik Covid-19, pembubaran parlimen dijangka sebagai pilihan terakhir. Pilihan pertama ialah jawatan perdana menteri baru akan dilantik tanpa perlu pilihan raya dan ini pernah berlaku apabila pertukaran perdana menteri  tidak melibatkan pembubaran parlimen.

Sebenarnya perjanjian keyakinan dan pembekalan ialah  sekadar perjanjian dan ini bukanlah pakatan rasmi di antara parti kerajaan dan pembangkang walaupun penyokong parti pembangkang berasa perjuangan lama mereka seolah-olah berakhir apabila berlakunya rundingan dalam tempoh singkat dan diikuti perjanjian yang tidak membolehkan mereka mengambilalih kerajaan. Pemulihan keyakinan kepada kerajaan meningkat manakala implikasi nilai kepada parti pembangkang tidaklah sebesar daripada populariti pihak parti kerajaan.

Status Terkini

Ketika tulisan ini dihasilkan tidak terdapat tanda-tanda perjanjian CSA ditandatangani secara rasmi bagi memastikan kelulusan Bajet 2021 berlaku dengan jaya tanpa gangguan undi yang menolak bajet ini.  Hal ini berlaku kerana Perikatan Nasional yakin  mereka mempunyai jumlah sokongan yang mencukupi bagi memastikan Belanjawan 2021 berjaya diluluskan. 

Implikasinya jika Perdana Menteri  bersetuju memeteraikan perjanjian CSA dengan pembangkang ini akan menunjukkan perdana menteri  tidak mempunyai sokongan dan kepercayaan daripada kalangan ahli parlimen Perikatan Nasional. Ketika ini, terdapat 113  ahli parlimen  menyokong Perikatan Nasional daripada 222 ahli Dewan Rakyat.

Cuma dalam politik apa-apapun boleh berlaku dalam politik. Sehari adalah tempoh yang panjang dalam politik yang kepelbagaian perkara dan tindakan politik boleh berlaku, sama ada terus menguatkan kerajaan Perikatan Nasional atau sebaliknya.  

Yang pasti penyertaan UMNO dalam Perikatan Nasional  lebih kepada penyertaan parlimen dan bukan parti secara rasmi, maka terdapat ahli parlimen  berpendapat mereka wajar membuat pendirian sendiri  sama ada menyokong, berkecuali atau menolak semua ini sewajarnya berdasarkan sentimen dan hati nurani kawasan yang diwakili mereka.  

Kesemua ini bergantung kepada dinamika politik semasa  yang akan mencipta sejarah politik tanah air   biarpun atau apa-apun pun sokongan dan pendirian yang akan mereka muktamadkan dalam masa terdekat. 

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.