KUCHING: Taska dan tadika di zon merah dan zon kuning dibenarkan beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kebajikan, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KKWKPK).

Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing berkata pengusaha taska dan tadika hendaklah bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pematuhan SOP yang ditetapkan.

“Bagi tujuan rekod dan pemantauan, taska dan tadika wajib memaklumkan kepada KKWKPK sebelum memulakan operasi,” katanya pada sidang media di bangunan Dewan Undangan Negeri (Dun) lama di sini, hari ini.

Sementara itu, Masing yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata bilangan penumpang dalam kenderaan persendirian adalah mengikut kapasiti kenderaan dan tidak lagi terhad kepada tiga orang sahaja.