KUCHING: Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga diseru tampil membuat pengecaman susulan penemuan mayat seorang lelaki di tebing sungai Kampung Semarang Lorong 4, Petrajaya semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Awang Din Awang Gani berkata, mayat ditemui oleh seorang lelaki yang hendak memancing di lokasi tersebut pada jam 1 petang sebelum bertindak melaporkan kejadian kepada polis.

Dedahnya, pemeriksaan awal mendapati mangsa dipercayai berusia lingkungan 30 tahun itu hanya berpakaian seluar panjang tanpa dokumen pengenalan diri.

“Pegawai perubatan mengesahkan mayat dianggarkan telah meninggal dunia beberapa hari yang lalu.

“Justeru, orang ramai yang ada kehilangan ahli keluarga diminta untuk tampil membuat pengecaman,” jelasnya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, pemeriksaan lanjut di tempat kejadian turut mendapati tiada kesan luka atau perlakuan jenayah pada badan si mati.

Susulan itu katanya, mayat telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan siasatan lanjut.

Ujar beliau, kes masih lagi dalam siasatan dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut(SDR).