KUCHING: Kerajaan Negeri perlu mempunyai perancangan dan mengambil kira sektor yang penting untuk melonjakkan pertumbuhan di kawasan ekonomi luar bandar, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Menurut beliau, dalam Belanjawan Negeri 2021, sekitar RM6 bilion lebih untuk pembangunan — 67 peratus untuk pembangunan luar bandar, selebihnya RM4 bilion untuk bandar.

Beliau berkata, tiga komponen penting mesti ditekankan dalam pembangunan luar bandar.

“Yang pertama, jalan raya dan jambatan, yang kedua bekalan elektrik dan air dan yang ketiga, Internet,’ jelas beliau.

Ketua menteri berkata demikian dalam temu bual Program Pasca-Bajet 2021 dengan TVS pada Khamis.

Menurut beliau, Internet merupakan kemudahan dan prasarana yang penting, dan ia bukan lagi satu kemewahan tetapi keperluan rakyat.

Beliau mengakui ketika ini ada kawasan yang belum mendapat capaian Internet, tetapi kerajaan komited untuk mengatasi masalah itu.

“Insya-Allah kita pasti dapat swelesaikannya. Kita mesti tahu bahawa banyak tempat yang tidak mempunyai akses Internet,” ujarnya. 

“Saya juga meluluskan RM150 juta untuk kita melebarkan rangkaian Internet ke seluruh peringkat menggunakan sistem zon. Sekiranya dilaksanakan, ia bermakna pengaksesan ini akan menyeluruh,” katanya lagi.