KUCHING: Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga Dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK), melalui Majlis Pembangunan SosiaL (MPS) memberikan geran tambahan kepada Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) daerah Kuching bagi membantu mendepani pandemik COVID-19.
Sebanyak enam buah Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK), dua Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dan dua Pusat Perkhidmatan Warga Emas (PPWE) daerah Kuching masing-masing menerima peruntukan berjumlah RM5,000 serta Sarawak Hun Nam Siang Tng yang menerima sebanyak RM10,000.
Antara pertubuhan yang menerima sebanyak RM5000 adalah Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Sentuhan Kasih Kuching, PPDK Mutiara Hati Matang; PPDK Petra Jaya; PPDK Sri Satok; PPDK Sinar Harapan Bau; PPDK Seri Batu Kawah; Pengerusi Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Sri Satok; PAWE Kuching;Pusat Perkhidmatan Warga Emas (PPWE) Kuching; PPWE Petra Jaya.
Menterinya, Dato’ Sri Fatimah Abdullah semasa berucap dalam majlis penyerahan geran tersebut, hari ini berkata, peruntukan tersebut adalah untuk menambah nilai kepada perkhidmatan yang disediakan oleh pertubuhan-pertubuhan tersebut terutamanya dalam mendepani norma baharu.
“Kita merasakan dalam keadaan kita diselubungi oleh pandemik COVID-19 ini, peruntukan ini kita berharap dapat digunakan oleh PAWE, PPWE dan juga PPDK untuk menambah nilai kepada perkhidmatan yang sedia ada.
“Tetapi oleh kerana daerah Kuching masih dalam zon merah, aktiviti terpaksa diubah suai menggunakan iaitu media sosial, ini yang kita sarankan”