KUALA LUMPUR: Gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal antara kesalahan tertinggi direkodkan semalam membabitkan 206 daripada 455 individu yang dikenakan tindakan atas kesalahan mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata daripada jumlah individu yang dikenakan tindakan semalam, 427 daripada mereka dikenakan kompaun,  27 direman dan seorang dibebaskan dengan jaminan.

Kesalahan ingkar PKPP yang lain membabitkan 72 individu dalam aktiviti pusat hiburan, tidak memakai pelitup muka (63), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (59), rentas negeri/daerah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tanpa kebenaran pihak berkuasa (21) dan lain-lain (34), katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata tindakan diambil hasil pemeriksaan Pasukan Petugas Operasi Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata Operasi Benteng yang dilaksanakan bagi mengekang jenayah rentas sempadan berjaya memberkas 28 pendatang tanpa izin dan seorang penyeludup, semalam.

“Sebanyak tiga kenderaan darat turut dirampas,” katanya dan menambah kata kejayaan itu hasil 306 sekatan jalan raya Operasi Benteng yang dilaksanakan melibatkan PDRM, Angkatan Tentera  Malaysia  dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia.

Mengulas lanjut, beliau berkata seramai 72,062 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa sejak 24 Julai lepas sehingga semalam, dan ditempatkan di 72 hotel serta 19 Institut Latihan Awam dan institut pengajian tinggi swasta di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, 10,396 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, 404 individu dihantar ke hospital untuk rawatan manakala 61,262 individu telah discaj dan dibenarkan pulang,” katanya.