SIMANGGANG: Masyarakat perlu memanfaatkan pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari hari ini khususnya dalam mencegah kebakaran di rumah panjang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Simoi Peri berkata, ini susulan daripada jumlah kebakaran rumah panjang yang tinggi telah berlaku di Sarawak sepanjang tahun ini yang memerlukan kerjasama dan tindakan proaktif masyarakat dalam mempersiapkan diri dengan kemahiran pencegahan kebakaran.
“Kejadian kebakaran boleh dicegah sekiranya setiap masyarakat mempunyai pengetahuan dan kemahiran sama ada dalam mencegah dan mengawal kebakaran.
“Kita perlu mengetahui setiap punca yang menyebabkan kebakaran dalam usaha mencegah kebakaran dari berlaku.
“Begitu juga ilmu pengetahuan dalam mengawal kebakaran agar ianya boleh dikawal dari terus merebak,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas menghadiri Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) Bersama Komuniti pada Sabtu.
Dalam majlis itu, telah diadakan ceramah dan demonstrasi oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sri Aman dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sri Aman.
Simoi turut menyampaikan sumbangan kipas siling sebanyak 49 unit kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Suyong.
Sambutan yang menggalakkan daripada penduduk setempat termasuk Ahli Majlis Kerajaan Tempatan, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), ahli-ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga.