KUCHING: Kerajaan Sarawak menekankan tiga komponen pembangunan di luar bandar sekali gus untuk melonjakkan ekonomi di kawasan yang dikenal pasti.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, oleh sebab itu, sebahagian besar Bajet Sarawak 2021, iaitu 67 peratus peruntukan untuk pembangunan luar bandar.

Menurutnya, tiga komponen tersebut ialah bekalan internet, hubungan jalan raya dan jambatan yang baik, serta bekalan air dan elektrik.

“Ini kerana, penting untuk mempunyai perancangan jangka panjang yang mengambil kira sektor penting untuk pertumbuhan ekonomi di negeri ini,” katanya semasa diskusi PascaBajet 2021, di TV Sarawak.

Abang Johari yang juga Menteri Kewangan dan Perancangan Ekonomi menjelaskan, internet merupakan infrastruktur penting pada masa ini.

“Sehubungan itu, kerajaan menyediakan peruntukan besar bagi menyediakan internet, yang akan memberi manfaat kepada pelajar sekolah, peniaga dan apa juga bidang yang memerlukan internet.

“Pelaksanaan untuk menyediakan infrastruktur internet ini dimulakan dua tahun lalu, dan ada juga kawasan yang mempunyai internet, dan ada yang masih tiada,” katanya.

Beliau berkata, selain internet, bekalan air, elektrik dan hubungan jalan raya juga perlu ditingkatkan.

“Sekiranya perancangan ini dapat dilaksanakan dengan baik, sasaran tempoh untuk perancangan ini siap sepenuhnya ialah pada 2024.

“Ia menjadikan Sarawak ke arah negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030,” katanya.

Abang Johari menjelaskan, kerajaan juga berusaha menurunkan peringkat kemiskinan di negeri ini, menerusi memperkasakan kegiatan ekonomi.