MIRI: Kerosakan Taman Awam Miri yang dibuka sejak 23 tahun lalu iaitu pada tahun 1997 telah mendapat perhatian daripada Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin dan Majlis Bandaraya Miri (MBM).

Susulan itu beliau bersama dengan Datuk Bandaraya Miri Adam Yii dan beberapa kakitangan MBM telah meninjau kerosakan Taman Awam Miri dan mengambil tindakan sewajarnya bagi keselamatan masyarakat.

“Didapati sesetengah kemudahan awam di Taman Awam Miri ini dalam keadaan kurang sempurna disebabkan faktor semulajadi dan ianya perlu diganti.

“Cadangan bajet untuk kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan landskap termasuk memastikan kemudahan awam dan fasiliti taman dalam keadaan stabil, boleh digunakan, tidak berlaku kerosakan yang boleh mendatangkan bahaya dan mengancam keselamatan pengguna taman akan diambil tindakan MBM,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas mengadakan tinjauan di Taman Awam Miri pada Jumaat.

Taman Awam Miri ini seluas 20 ekar dengan lokasinya hanya 3 km dari pusat Bandaraya Miri dan dibina di atas bukit dan mempunyai keindahan landskap yang menarik serta tumbuhan menghijau menghuni di sekelilingnya.

Antara daya tarikan di Taman awam ini termasuk Jambatan Gantung, Menara Peninjau, Kolam Renang, Taman Permainan Kanak-Kanak, Taman Flora, Air Terjun dan Trek Jogging.

Datuk Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin menambah pada tahun ini lebih banyak kawasan taman rekreasi dibina di kawasan perumahan di Miri.

“Sebanyak enam kawasan taman rekreasi telah dicadangkan dibina di kawasan perumahan iaitu masing-masing tiga di kawasan perumahan Permyjaya dan tiga lagi di kawasan perumahan Senadin,” tambahnya.

Taman Rekreasi penting sebagai tempat untuk beristirahat dan menenangkan fikiran untuk lari dari kesibukan khususnya di kawasan bandar sebagai tempat beriadah dan bersenam untuk ke arah masyarakat yang cergas dan gaya hidup sihat serta mengindahkan dan mewujudkan kawasan hijau di setiap kawasan bandar dan perumahan.