KUCHING: Kerajaan Negeri menjangka menjana pendapatan sebanyak RM15 bilion pada tahun depan bagi membiayai pembangunan prasarana di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, RM10.012 hasil pendapatan dalam Belanjawan 2021, ditambah dengan peruntukan RM4.5 bilion di bawah Belanjawan Persekutuan, akan dapat memacu Sarawak ke hadapan.

“Kerajaan Persekutuan memberi RM4.5  untuk  pembangunan infrastruktur dan ia juga memberi kita peruntukan melalui pelbagai kementerian,” jelas beliau dalam temu bual dengan TVS dalam program Pasca-Bajet 2021 yang disiarkan pada malam Khamis.

Ini bermakna jelas beliau, jika Sarawak dapat menjana RM10 bilion, dan ditambah dengan RM4.5 bilion, negeri ini akan mempunyai RM15 bilion.

“Jadi, ini mencukupi untuk menggerakkan Sarawak ke hadapan,’ jelasnya.

“Kerisauan saya hanya dari segi keupayaan — sama ada kita dapat melaksanakannya seperti disasarkan, dan sama ada kontraktor kita mampu,” jelasnya.

Jelas beliau yang juga Menteri kewangan dan Perancangan Ekonomi, Sarawak mempunyai sumber hasil yang banyak, termasuk daripada cukai hasil minyak dan gas yang menyumbang sebanyak RM3.2 bilion pada tahun ini.

Kerajaan Sarawak memperuntukkan sebanyak RM9.832 bilion bagi Belanjawan Negeri 2021 dengan sejumlah RM6 bilion adalah untuk perbelanjaan pembangunan dan RM3.832 bilion untuk perbelanjaan mengurus.

Peruntukan besar itu selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk mempercepat pembangunan di kawasan luar bandar dalam usaha untuk merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar.

“Bagi tujuan itu, sejumlah RM4.251 bilion atau 67 peratus daripada jumlah keseluruhan peruntukan pembangunan akan dimanfaatkan untuk pelaksanaan program dan projek di daerah luar bandar, sementara selebihnya iaitu RM2.053 bilion atau 33 peratus adalah untuk kawasan bandar, ” kata Abang Johari dalam ucapan Belanjawan 2020 di DUN pada 9 Nov lalu.

Beliau menegaskan, semua inisiatif, projek dan program tertentu akan memberi kesan transformasi terhadap ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyat Sarawak.