KUCHING: Kerajaan Sarawak merancang untuk mewujudkan syarikat telekomunikasi sendiri dalam tempoh dua tahun akan datang bagi memperluaskan capaian internet di kawasan luar bandar.
Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, keputusan bagi menubuhkan syarikat telekomunikasi tersebut telah diputuskan pada mesyuarat 18 November lepas.
Menurut beliau, menerusi inisiatif tersebut kerajaan negeri akan memberi subsidi kepada operator telekomunikasi itu kelak bagi menyediakan tarif penggunaan yang lebih rendah kepada rakyat.
“Dalam usaha memperluaskan perkhidmatan internet ke kawasan luar bandar dan selepas mengambil kira faktor operator telekomunikasi sedia ada yang sukar memperluaskan khidmat mereka, jadi kita mencari jalan keluar bagi memastikan rakyat luar bandar turut menikmati kemudahan internet
“Insya-Allah dalam setahun dua ini kita akan mewujudkan syarikat telekomunikasi kita sendiri dan kita akan memberikan subsidi kepada operator kita kelak bagi memastikan rakyat menikmati kadar penggunaan yang lebih rendah,” katanya.
Bercakap dalam program ‘Diskusi Pasca-Bajet 2021 bersama Abg Jo’ yang disiarkan menerusi TV Sarawak pada Jumaat, Ketua Menteri memberitahu, kira-kira 1,200 buah menara komunikasi juga telah dirancang untuk dibangunkan di seluruh negeri menjelang 2023.
Beliau menambah, kerajaan negeri juga telah meluluskan dana sebanyak RM150 juta bagi memulakan projek perluasan liputan wifi mengikut sistem zon di Sarawak.