KUCHING: Pegawai penyelidik Bahagian Sejarah Lisan, Yayasan Tun Jugah, Jantan Umbat berkata terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada kemerosotan bahasa Iban di negeri ini.

Menurut bekas guru itu, satu daripada faktor penyumbang ialah kesan negatif media massa seperti pengguna menyingkatkan sesuatu perkataan apabila menghantar  khidmat pesanan ringkas.

“Dengan menghantar pesanan ringkas, ia akan menjejaskan ejaan sesuatu perkataan dan struktur ayat,” jelasnya.

Menjelaskan isu berkenaan dengan lebih lanjut,  Jantan yang berpengalaman luas dalam pengajaran bahasa itu dan penulisan buku teks Iban berkata, kemerosotan juga berpunca daripada penghijrahan masyarakat dari luar bandar ke bandar apabila mereka terputus hubungan dengan kehidupan di rumah panjang.

“”Kesan daripada kahwin campur juga memberi sumbangan kepada kemerosotan bahasa itu apabila mereka cenderung mencampur aduk perkataan dan menukar kod dalam ujaran. Percampuran antara kaum juga cenderung pencemaran bahasa,” katanya.

Beliau menjelaskan pengaruh bahasa Melayu tempatan yang begitu dekat dengan bahasa Iban juga memberi kesan terhadap kemerosotan penggunaan bahasa Iban.

Mengenai cabaran mengajar bahasa Iban, Jantan berkata, ia membabitkan usaha  bagaimana memberi motivasi kepada pelajar kerana pengajaran memerlukan kemahiran khusus termasuk dari segi pedagogi. 

Selain itu, jelas beliau, menjadi cabaran  juga bagi guru untuk menyemai kreativiti dan inovasi bagi membangkitkan minat dalam pengajaran-pembelajaran bahasa berkenaan.