SERIAN: Pengisytiharan Proklamasi Darurat di Parlimen Batu Sapi oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah adalah keputusan yang bijaksana, kata Timbalan Presiden SUPP Datuk Seri Richard Riot Jaem.

Ahli Parlimen Serian itu berkata, dalam situasi sekarang nyawa rakyat lebih penting daripada menjalankan Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

“Bagi saya keputusan itu amat tepat dan bijak kerana nyawa manusia lebih berharga. “Untuk memastikan kita dapat melawan pandemik Covid19, kerajaan dan semua rakyat harus bekerjasama rapat dengan memainkan peranan masing-masing,” katanya.

Beliau yang juga Duta Khas Perdana Menteri Ke Jepun, Korea Selatan dan Taiwan berkata demikian ketika ditemui pemberita di sini baru-baru ini.

Terdahulu pada Rabu, Agong mengisytiharkan Proklamasi Darurat terhadap Parlimen Batu Sapi, Sabah bagi mengelak PRK sebagai langkah proaktif membendung gelaja wabak Covid-19.

Keputusan itu dibuat selepas Agong berpuas hati dengan penjelasan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menasihati baginda berkenaan cadangan itu.

Sementara bercakap mengenai perkara berlainan, Riot menegaskan tiada layanan istimewa diberikan kepada Menteri Adun mahupun Ahli Parlimen dalam menjalani ujian saringan Covid-19 dan tatacara kemasukan ke Sarawak.

“Walaupun saya Ahli Parlimen, saya tetap melalui prosedur yang sama seperti rakyat biasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

“Saya juga menjalani ujian calitan Covid-19 setiap kali sebelum penerbangan antara Sarawak dan Semenanjung, selepas keputusan disahkan negatif, baru boleh dibenarkan keluar negeri, begitu juga sebelum memasuki Dewan Rakyat.

“Apa yang penting adalah nyawa setiap manusia dilindungi kerana wabak ini tidak mengira perbezaan pangkat, umur dan sebagainya,” tegasnya.