KUALA LUMPUR: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan penerbangan ihsan membawa tiga bayi yang mengalami masalah jantung dari Kuching, Sarawak ke Pangkalan Udara Subang untuk mendapatkan rawatan segera di Institut Jantung Negara (IJN) dan Hospital Gleneagles di sini, Jumaat.

Bayi perempuan, Eliora Mia Nawan berusia 20 hari mengalami masalah jantung ‘ Transposition Of Great Arteries’ akan dirawat di Hospital Gleneagles, Ampang.

Manakala dua bayi lagi iaitu Marry Anne Methew Mavrick, berusia 19 hari menghadapi masalah jantung ‘’Congenital Heart Block’ dan Abang Muhammad AlFatih Abang Mohammad, berusia dua bulan menghadapi masalah jantung ‘Congenital Heart Disease’ akan dirawat di IJN.

Kesemua bayi berkenaan sebelum ini menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS).

Penerbangan ihsan ini menggunakan pesawat angkut A400M dari No. 22 Skuadron, Pangkalan Udara Subang.

Pesawat diterbangkan oleh Mejar Mohd Shafique Mohd Amin TUDM dan dibantu oleh pembantu juruterbang, Kapten Wan Abdullah Wan Hanapi TUDM bersama dua orang ‘Loadmaster’ iaitu PW U II Amran Rashid @ Jaafar dan Sjn U Mohd Naim Kamijan serta dua orang ‘Supplementary Crew’, iaitu Kpl U Mohamad Azim Jamal dan Kpl U Harun Mustafa.

Turut mengiringi bayi dalam penerbangan ini adalah dua pegawai perubatan, dua jururawat dan ibu bayi masing-masing.

Pesawat berlepas dari Pangkalan Udara Kuching pada jam 7.07 semalam  dan tiba di Pangkalan Udara Subang pada jam 8.43 malam.

Penerbangan ihsan ini dilaksanakan oleh TUDM bagi membolehkan pesakit mendapatkan rawatan dengan segera dan tertakluk kepada keadaan tertentu terutama nasihat daripada pegawai perubatan. Ini memperlihatkan keprihatinan dan komitmen TUDM dalam melunaskan tanggungjawab sosial, malahan turut membuktikan TUDM sentiasa siap siaga untuk mengoperasikan aset-asetnya pada masa yang diperlukan.

Terdahulu, pesawat A400M ini juga turut melaksanakan penerbangan “logistic comm” membawa Tim Mobilisasi dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta peralatan perubatan daripada KKM dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) daripada Academy Medicine Of Malaysia dan Yayasan Amal Malaysia yang dihantar ke Sabah iaitu ke Tawau dan Kota Kinabalu.

Seluruh warga TUDM mendoakan supaya kesemua bayi berkenaan dapat menjalani rawatan serta diberikan kesembuhan dan kembali sihat.

Semoga usaha yang dilaksanakan oleh TUDM dengan kerjasama bersama pasukan perubatan melancarkan proses rawatan perubatan dan membantu meringankan bebanan yang ditanggung oleh keluarga bayi berkenaan.