KUCHING: Laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) yang hampir tepat dalam menunjukkan taburan hujan akibat Monsun Timur Laut yang berlaku di Barat Sarawak dari Sri Aman hingga ke Kuching telah memudahkan gerak kerja Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak.

Pengarah JBPM Negeri Sarawak Khirudin bin Drahman @Hussaini berkata,  laporan ini telah banyak membantu persiapan dan pergerakan JBPM Sarawak dalam mempersiapkan pasukan menghadapi banjir.

“Laporan yang diberikan Meteorologi sekarang hampir tepat, 99 peratus tepat. Jadi, gerak atur peralatan kita dan juga gerak atur aset kita dan anggota sekali berada dalam keadaan yang baik,” katanya semasa ditemui selepas menyampaikan Surat Kebenaran Solat Jumaat dan Sumbangan Kepada Asnaf di Surau Al-Baqiatus Solehat, Perkampungan Bomba Jalan Matang Baru pada Jumaat.

Terdahulu, satu majlis ringkas penyerahan surat kebenaran Solat Jumaat telah disampaikan Pegawai Agama Islam Bahagian Kuching, Ustaz Bahrin Kawi kepada Pengerusi Surau Al-Baqiatus Solehat yang membolehkan Solat Jumaat dilaksanakan di surau berkenaan.

Sementara itu, Khirudin turut memberitahu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang sedia ada akan ditambah disebabkan norma baharu dan ianya akan kenal pasti di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Dua hari lepas, Majlis Keselamatan Negara (MKN), JPBN Sarawak dan JBPM Sarawak telah mengeluarkan satu garis panduan di mana dinyatakan sebelum ini pertama kali garis panduan kepada anggota penyelamat.

“Dalam tugas ini sudah jelas bahawa untuk memindah adalah tugasan dan peranan JBPM Sarawak.

“Jadi, kita akan memberi penekanan kepada pengangkutan dan pergerakan perpindahan. Di PPS ini, ianya akan diuruskan JPBN Sarawak dan JKM Sarawak dengan pihak APMM berdasarkan garis panduan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang perlu dipatuhi,” ujarnya.

Pada majlis itu juga telah diadakan penyampaian sumbangan berupa barangan keperluan asas dan wang tunai kepada 40 asnaf dari Mukim Matang Jaya yang merupakan sumbangan daripada syarikat korporat dan individu.