LIMBANG: Berikutan taklimat aktiviti dan keperluan dana oleh Setiauasaha Majlis Pengakap Daerah Limbang, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Sarawak, Kpt. Zainuddin Hamdan berkata bahawa semua ahli Majlis Pengakap Daerah hendaklah proaktif meraih dana daripada apa juga sumber yang munsabah untuk membiayai pelaksanaan aktiviti Pengakap, pembangunan Pengakap supaya pergerakan terus memainkan peranan aktif dalam pemerkasaan golongan muda ke arah mewujudkan pelapis pemimpin di negara ini.

Beliau mahu semua ahli Majlis Pengakap Daerah memikirkan cara dan kaedah yang berkesan untuk menjanakan dana yang diperlukan oleh Pengakap.

“Ahli Majlis Pengakap Daerah dilantik untuk tempoh dua tahun dan anda harus memanfaatkan tempoh dua tahun ini untuk melakukan sesuatu yang dapat dibanggakan”, tambah beliau.

Majlis Pengakap Daerah dan Majlis Pesuruhjaya dan Pemimpin mesti mewujudkan perhubungan yang mesra dan saling membantu dalam menjayakan aktiviti jika kita mahu melihat pergerakan Pengakap semakin berkembang maju walaupun sekarang ancaman wabak covid-19 masih berterusan di negeri ini.

Zainuddin menzahirkan kebanggaan ke atas usaha yang dilakukan oleh Pengakap Limbang dalam menjalankan aktiviti tertentu melalui pematuhan ketat prosedur operasi standard untuk memutuskan jangkitan covid-19.

Berhubung dengan lawatan ini, beliau berkata misi utama rombongan ini untuk meninjau kemungkinan pembangunan ke atas lot tanah milik Persatuan Pengakap Limbang untuk menjanakan dana yang diperlukan oleh pergerakan Pengakap.