KUALA LUMPUR: Sebagai Menteri Kanan Keselamatan,  Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau dilantik menjadi jurucakap kerajaan mengenai perkara-perkara bukan berkaitan dengan kesihatan, manakala Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah bercakap mengenai kesihatan. Itulah tujuan sidang media harian bagi memaklumkan perkembangan berkaitan Covid-19 kepada rakyat.

Jelas beliau,  setiap keputusan pula adalah berdasarkan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia berdasarkan penilaian risiko mereka dan sebagai contoh untuk isytiharkan PKPP dan PKPB.

“Sejak pandemik Covid-19 melanda negara iaitu pada 23 Januari 2020 sehinggalah hari ini, kita mula menjalani kehidupan secara norma baharu. Walaupun pada mulanya ia agak sukar namun kini ia telah menjadi satu keterbiasaan,” katanya dalam satu kenyataan di blog peribadi.

“… dan saya sebagai jurucakap kerajaan, menjadi tempat untuk netizen melepaskan perasaan mereka. Saya tahu ramai netizen yang marahkan saya… saya memahami perasaan mereka. Insya-Allah saya akan lakukan yang terbaik dengan mendengar suara mereka dan membawa suara mereka ini ke mesyuarat khas MKN.

“Percayalah, Pak Long mahu yang terbaik untuk semua, sebagaimana Pak Long mahu yang terbaik untuk keluarga Pak Long, begitu juga Pak Long mahu yang terbaik untuk orang ramai. Pak Long sayang semua,” katanya.

Menurut Ismail, setiap keputusan mesyuarat khas menteri-menteri mengenai Covid-19 serta sidang khas MKN akan beliau laporkan secara harian dalam sidang media harian.

“Jadi, setiap laporan harian saya adalah berdasarkan keputusan mesyuarat yang dihadiri oleh sebahagian besar menteri-menteri dan ketua-ketua jabatan. Bukan saya yang buat keputusan,” ujar beliau lagi.

Setiap kali sidang media harian diadakan, ruang komen  dibanjiri pelbagai  komen, ulasan dan pandangan  netizen termasuk komen negatif.

Ramai tersalah anggap yang merasakan semua keputusan boleh diputuskan oleh Ismail Sabri sebagai Menteri Kanan.