MATU: Penduduk Kampung Kuala Matu bersama beberapa agensi kerajaan terlibat dalam program gotong-royong membersihkan pantai dan kawasan penjaja Pantai Kuala Matu pada Jumaat.

Ia selepas kawasan tersebut dilimpahi kotoran yang dibawa ombak semasa air pasang besar beberapa hari lepas.

Agensi yang terlibat adalah Majlis Daerah Matu dan Daro (MDMD), Pejabat Daerah Matu, Bomba Daerah Daro, RELA Daerah Matu, APM Daerah Matu termasuk Ahli Persatuan Penjaja Pantai Kuala Matu dan AJK JKKK Kuala Matu.

Penglibatan penduduk kampung dari pelbagai peringkat usia dalam program tersebut memperlihatkan keutuhan perpaduan dan kerjasama erat bersama agensi yang terlibat.

Sementara itu, Kaunselor Lapok Rawit berkata masalah hakisan yang dihadapi di kawasan pantai itu akan berakhir dengan siapnya Projek Benteng Pantai Kuala Matu yang sedang dalam pelaksanaan bernilai RM8.8 juta.