SARIKEI: Dua buah bot nelayan asing dinaiki empat warga Indonesia diarah berpatah balik selepas dikesan menceroboh perairan negara pada kedudukan 75.1 batu nautika Barat Laut Tanjung Sirik, pada Rabu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Sarawak Laksamana Pertama Zin Azman Md Yunus berkata, kedua-dua bot berwarna merah dan biru itu ditahan sekitar jam 8 pagi.

Menurutnya, aktiviti itu dikesan ketika anggota membuat rondaan Op Benteng serta Op Khas Kuda Laut di sekitar sempadan Malaysia-Indonesia sebelum menemui bot asing tersebut dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan mendapati keempat-empat kru kapal warga Indonesia tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kapal tersebut turut didapati berisi pukat rawai dan hasil laut terdiri daripada ikan pelbagai jenis seberat 200 kilogram itu seterusnya diarahkan berpatah balik dari perairan negara iaitu 28 batu nautika ke sempadan Malaysia-Indonesia,” jelasnya dalam satu kenyataan Jumaat.

Katanya, tindakan mengusir semula kedua-dua buah bot terbabit dilakukan bagi mengekang penularan Covid-19, sejajar dengan situasi semasa.

Sementara itu, Azman turut menyeru kepada seluruh komuniti maritim untuk bersama-sama agensi penguat kuasa dalam membanteras sebarang aktiviti jenayah di laut.

Ujarnya, sebarang aduan mengenai aktiviti sedemikian boleh disalurkan menerusi talian MERS 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Malaysia Sarawak di talian 082-432544.