SARATOK: Seorang ayah kepada lima anak dari Kampung Melango Baru di sini kini berdepan keperitan hidup yang mencabar apabila disahkan menghidap barah usus tahap empat oleh pihak doktor yang merawatnya.

Derita yang mencengkam Rodie Hasim,41 tahun, sekali gus turut membelenggu seluruh isi keluarganya yang sebelum ini bergantung harap dengan kudrat dan keringatnya dalam menyara keluarga.

Rodie yang menjadi tulang belakang keluarga bagi menyara kehidupan keluarga seharian kini terlantar sakit dan tidak lagi berupaya melaksanakan tanggungjawab sebagai ketua keluarga sekali gus menyebabkan pincangnya kehidupan keluarga itu kini.

Dan apabila orang harapan sudah tidak berupaya melaksana tanggungjawab maka isteri Rodie, Anasiah Antey terpaksa menggalas tanggujgjawab mencari nafkah untuk keluarga dan anak-anak. Anak-anaknya kini semuanya masih di bawah tanggungannya dan berusia dalam lingkungan 17 tahun dan paling muda baru sahaja berusia dua bulan.

Anasiah berkata tahap kesihatan suaminya makin merosot sejak akhir-akhir ini.

Jelas Anasiah, ketika masih sihat suaminya tidak mempunyai pekerjaan tetap dan hanya melakukan kerja kampung dengan pendapatan yang tidak menentu.Ini menyukarkan keluarga itu untuk membuat tabungan lebih-lebih lagi anak mereka masih di bangku sekolah.

Keadaan suaminya yang tidak lagi boleh bekerja kini menyebabkan mereka sekeluarga sekarang berdepan kesukaran hidup makin getir dan terpaksa mencari jalan bagi memperoleh sumber pendapatan dalam meneruskan kelangsungan hidup serta untuk tujuan membiayai kos perubatan Rodie.

Susulan daripada masalah yang membelenggu keluarganya Anasiah menyuarakan masalah keluarganya ke pengetahuan Sarawak Voice dengan harapan akan ada insan dan tangan-tangan di luar sana akan dapat menghulur bantuan dalam meringankan bebanan yang ditanggung keluarganya kini.

Menurut Anasiah bukanlah satu perkara mudah untuk hidup meminta-minta dan meraih simpati orang.

Namun apabila sesuatu itu terlalu perit untuk ditanggung dan sangat mendesak, keperihatinan orang ramai sangat diperlukan dalam merayu bantuan daripada orang ramai mahupun pihak berkenaan bagi tujuan membiayai kos rawatan dan ubatan penyakit dialami suaminya itu.

Sehubungan dengan itu, keprihatinan insan di luar sana sangat diharapkan agar akan ada yang simpati dan tampil menghulur sumbangan.

Lebih menyedihkan lagi apabila dia baharu sahaja lepas bersalin beberapa bulan lalu dan turut terbeban untuk membeli susu serta lampin pakai buang bayinya yang berusia dua bulan.

Duit simpanan yang ada sebelum ini katanya sudah habis digunakan untuk tujuan perubatan suami.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan bebanan keluarga Rodie Hasim bolehlah menghubungi Anasiah Antey di talian 016-4535990.

Atau menghantar terus sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional atas nama – Anasiah Antey (BSN: 1350 1417 0010 0767 ).

Semoga dengan sumbangan yang dihulurkan dapat memberikan sedikit kelegaan buat keluarga yang  dilanda kesempitan hidup ini.