SERIAN: Masyarakat Islam di Bahagian Serian bakal menerima manfaat daripada pembangunan-pembangunan infrastruktur yang sedang dijalankan.

Antaranya ialah Bangunan Jabatan Agama Islam Bahagian Serian yang dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan Disember 2020 dan akan mula beroperasi pada Januari 2021.

Yang DiPertua Majlis Islam Sarawak, Datu Misnu Taha berkata, ianya merupakan satu usaha pihak majlis Islam dan jabatan agama untuk memberi perkhidmatan kepada masyarakat Islam di Bahagian Serian seperti bahagian dakwah, kaunseling dan bahagian nikah.

Datu Misnu turut menambah, bangunan Baitulmal juga turut terdapat bersebelahan dengan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Serian bagi memudahkan urusan pembayaran zakat, pengagihan zakat dan sebagainya untuk masyarakat Islam di bahagian berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam lawatan ke tapak Masjid-Masjid di Bahagian Serian pada Jumaat.

Dalam rangka lawatan ke tapak pembinaan Masjid Bahagian Serian, beliau memaklumkan masjid tersebut tidak dapat dirobohkan semua rangka lama iaitu struktur bahagian atas masjid tersebut masih kekal dan ditambah dengan keperluan-keperluan lain.

Tambahnya lagi, masjid itu kelak turut disediakan dengan dewan serbaguna untuk aktiviti keagamaan yang dijangka siap pada Mei 2023.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus turut meluangkan masa hadir ke lawatan tapak Masjid An Nur Sg Buluh dan menyampaikan sumbangan kepada lima penerima.