SARIKEI: Pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) seorang wanita warga emas yang dilaporkan hilang di Nanga Entaih Pakan sejak Ahad lalu menggunakan khidmat anjing pengesan, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor, Nicholas Belulin berkata, sebanyak dua ekor anjing K9 digunakan masing-masing pada jam 12 tengah hari dan 1.00 petang bagi mengesan jejak dan bau mangsa namun gagal.

“Keseluruhan radius kawasan operasi hampir 5 kilometer (km) dan kesemua lokasi sudah dilalui. Pasukan SAR berpendapat kemungkinan untuk mangsa bergerak lebih jauh adalah amat sukar,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, pencarian sekitar kawasan penemuan yang terakhir semalam menemui kesan tapak kaki dan tangan dipercayai milik mangsa.

Bagaimanapun usaha pencarian pasukan SAR tidak menemui sebarang petunjuk baru.

“SAR disertai seramai empat anggota pasukan Multi-Skill Team (MUST), seorang anggota Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia ( STORM), 10 pegawai Polis DiRaja Malaysia, enam Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan 28 orang penduduk rumah panjang.

“Operasi yang ditangguhkan pada 5.00 petang semalam, akan disambung hari ini dan keputusan penangguhan operasi hanya akan dibuat bergantung dengan penemuan serta perbincangan yang seterusnya,” katanya.

Mangsa Chemeral Mering, 63, dilaporkan hilang selepas menghadiri temuduga di Pejabat Kebajikan Daerah Pakan.

Selesai temuduga mangsa dipercayai pulang ke Nanga Entaih dan akan dijemput oleh anak buahnya namun tidak kunjung tiba.

Dia kemudian berjalan kaki menyusuri jalan lama ke rumah panjang yang mengambil masa satu jam perjalanan namun mangsa tidak tiba di rumah panjang.

Menyedari kehilangannya, adik iparnya mengambil keputusan untuk mencari mangsa ke Nanga Entaih bersama 15 orang penduduk rumah panjang namun gagal menjumpai mangsa.

Berikutan itu satu laporan dibuat sebelum Ops SAR dilancarkan.