SEMARANG, Pusa: Selepas berlangsung selama tujuh hari, operasi mencari dan menyelamat ( SAR ) yang dijalankan bagi mencari wanita warga emas yang hilang di kebun dihentikan petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok, Nazry Mohamat berkata, operasi SAR dihentikan secara rasmi pada jam 5 petang setelah tiada petunjuk ditemui sepanjang tujuh hari operasi dilangsungkan di sekitar kawasan mangsa, Ra’obah Morni,69 tahun dikatakan hilang ketika ke kebun Pada Jumaat, 13 November lalu .

” Untuk operasi hari ketujuh hari ini, pasukan SAR dipecahkan kepada 4 sektor A, B, C dan D dengan kekuatan pasukan carian SAR seramai 35 orang. Carian difokuskan di kawasan sungai, kawasan kebun mangsa dan laluan jalan menghala ke Ladang THP Semarang dengan anggaran radius 1.5 KM. Setiap sektor carian A – D dibahagikan kepada sektor carian 700 meter radius setiap sektor bagi menjejak mangsa.

“Sektor A dan D diketuai bomba dan Sektor B dan C diketuai APM. Carian pada sebelah petang memfokuskan di laluan jalan ke ladang Semarang, sempadan kebun di kawasan Lot Kampung Sepinang dan kawasan kebun mangsa dengan keluasan carian 2.3 KM.Namun usaha pencarian terus menemui jalan buntu dan tidak menjumpai orang yang dicari.

“Pada jam 4.30 petang hasil perbincangan bersama ahli keluarga mangsa iaitu Ra’anah binti Morni adik mangsa, Ketua Kampung Semarang, Suria binti Haji Azmi, Wakil Penduduk, Haji Sahadan bin Matrang bersama agensi SAR dari PDRM Beladin, Sarjan Wan Junit bin Wan Hassim dan Tuan Desem Samuel Timbalan Pegawai Pertahanan Awam Daerah Betong maka semua anggota bersetuju menghentikan operasi mencari dan menyelamat mangsa hilang di kebun Semarang Pusa dan operasi akan disambung semula jika terdapat petunjuk baharu untuk menjejak mangsa,”ujarnya.

Pada hari kejadian mangsa bersendirian ketika ke kebun. Mangsa dikatakan menggunakan baju ‘T’ berwarna merah gelap dan seluar panjang berwarna hitam.