KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing dilantik sebagai Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.

Menurut satu kenyataan media hari ini, Mesyuarat Kabinet Negeri pada 18 November lepas telah memutuskan perkara tersebut dengan Tan Sri James Masing memangku jawatan berkenaan daripada Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Ini susulan Datuk Amar Douglas Uggah kini berehat sebulan selepas menjalani pembedahan kecil di sebuah hospital swasta di Kuching.

Dalam mesyuarat JPBN Sarawak hari ini, Tan Sri James Masing telah mengingatkan semua rakyat untuk kekal sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak.

“JPBN Sarawak juga  akan bermesyuarat pada Ahad ini (22 November) bagi memutuskan status Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kuching sama ada perlu dilanjutkan atau sebaliknya.

“Ini juga mengambil kira bilangan kes baru dalam tempoh dua hari ini,” katanya lagi.