SEMATAN: Kem Putra Sentosa, Sematan akan dipertimbangkan sebagai lokasi untuk dijadikan Pusat Tahanan Sementara Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang baharu.
Hal ini disebabkan Jabatan Imigresen Sarawak memerlukan Pusat Tahanan Sementara PATI bagi menempatkan kemasukan PATI dari kompleks Kastam Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) Biawak dan juga pintu-pintu masuk laluan tikus dalam daerah Lundu dan Sematan susulan Pusat Tahanan Sementara Jabatan Imigresen Negeri Sarawak yang terletak di Serian sudah mulai penuh.
Justeru pihak Jabatan Imigresen Negeri Sarawak akan menilai semula keadaan lokasi ini terutamanya dari segi keselamatan dan juga SOP kesihatan bagi membendung penularan wabak COVID-19 di daerah Lundu khasnya.
Hadir dalam lawatan tapak cadangan pusat tahanan sementara tersebut hari ini ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datu Ik Pahon Joyik, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep, Timbalan Pengarah Jabatan Imigresen Negeri Sarawak, Azlan Othman dan Pegawai Daerah Lundu Gustian Durani.