KUCHING: Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan dana sebanyak RM1.9 juta dalam membawa pelbagai pembangunan di Kampung Semaba.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Lo Khere Chiang berkata, antara pembangunan yang sedang dilaksanakan ialah naik taraf jalan raya kampung, sistem perparitan serta projek lain.

Jelasnya antara projek lain yang telah siap di Kampung Semaba adalah naik taraf Gereja SDA Kampung Semaba dengan kos RM250,000 dan Gereja Sacret Heart Kampung Semeba sebanyak RM50,000.

“Projek yang sedang dalam pembinaan adalah sistem perparitan dan jalan yang berjumlah RM150,000, manakala projek membina baru gerai penjaja Kampung Semeba adalah sebanyak RM100,000 yang akan dilaksanakan pada tahun depan,” jelasnya dalam majlis penyerahan projek baru kepada SK Sacred Heart di Kampung Semeba, hari ini.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, peruntukan sebanyak RM100,000 akan disalurkan bagi membina baru sebuah pra-sekolah di Kampung Semeba juga pada tahun depan.

“Kita juga mempunyai perancangan untuk membangunkan produk pelancongan di Kampung Semaba dalam usaha menarik kedatangan pengunjung sekaligus merangsang pendapatan masyarakat setempat,” jelasnya.

Sementara itu, Khere Chiang memberitahu, terdapat lima projek baik pulih rumah telah dilaksanakan di Kampung Semaba.

“Kita yakin, dalam tempoh lima tahun akan datang tiada lagi kediaman penduduk yang bocor di kawasan Batu Kitang,” ujarnya.