KUCHING: Penubuhan Majlis Ekonomi Sarawak (SEAC), 6 Mei lalu, merupakan sebahagian daripada usaha mempercepatkan pemulihan ekonomi di peringkat negeri pascaCovid-19, kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, penubuhan itu sebagai sokongan kepada program Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang dilancarkan Kerajaan Persekutuan, 5 Jun lalu.

Melalui PENJANA, Kerajaan Persekutuan mengambil langkah inklusif dan pendekatan holistik untuk memulihkan ekonomi negara melalui 40 inisiatif dengan matlamat menggerakkan rakyat, perniagaan dan merangsang ekonomi, katanya melancarkan ‘Malaysia Mudah’ #MyMudah secara maya dan langsung Facebook di sini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mewakili Ketua Menteri melancarkan program itu yang dianjurkan Perbadanan Produktiviti Malaysia dan Unit Perancangan Ekonomi Sarawak.

Beliau berkata, pelbagai inisiatif di bawah SEAC itu akan menyokong PENJANA sambil mempercepatkan pemulihan dan pertumbuhan ekonomi di Sarawak supaya seiring dengan negeri-negeri di Semenanjung dan secara global dengan matlamat mencapai status negeri maju menjelang 2030.

Salah satu daripada pelbagai inisiatif untuk menggerakkan pemulihan ekonomi itu ialah memperkenalkan Malaysia Mudah atau MyMudah, katanya dan menambah, matlamat #MyMudah untuk membantu pengusaha industri dan perniagaan mengatasi kerenah birokrasi dan mengurangkan kos dikenakan ke atas syarikat dan perniagaan.

Pelaksanaan #MyMudah bertujuan mencapai pengurangan 25 peratus atau bersamaan RM10 bilion ke atas kos dalam sektor awam, tegas beliau.

Ketua Menteri berkata, antara isu berjaya ditangani di bawah inisiatif #MyMudah ialah pengeluaran permit eksport bagi produk florikultur dan makanan diproses, pengeluaran ‘Surat Pengesahan’ oleh Agensi Teknikal berkaitan sijil Persiapan dan Pematuhan (CCC), lesen penternakan yang dikeluarkan berkaitan pembinaan ladang ternakan (tertutup) moden dan pengenduran Keperluan Peraturan bagi Lesen Pengusaha dan industri pelancongan.

Kerajaan Sarawak, katanya, akan bergerak cepat membangunkan Transformasi Digital dan Inovasi pada masa hadapan sebagai sebahagian daripada inisiatif yang dibangunkan oleh SEAC.

Inisiatif itu, tambahnya, akan meningkatkan daya saing ekonomi negeri dan meletakkan Sarawak untuk menjadi destinasi pelaburan menarik di rantau ini.

Pada masa sama, katanya, Kerajaan Sarawak turut mewujudkan tempat ekosistem dan dasar perniagaan mesra yang akan menggalak pelaburan berkualiti baharu dalam semua sektor ekonomi di negeri ini.

Beliau berkata, pada perkongsian sesi antara MPC mengenai MyMudah dan Konsultasi Awam Bersepadu, platform portal digital akan memanfaatkan peserta.