KABONG: Pembinaan sebuah balai bomba di sini kini dalam pertimbangan pihak kerajaan dan lawatan pemantauan serta penilaian dilokasi dilakukan oleh wakil pihak berkuasa bomba negeri bagi meneliti kewajaran pembinaan balai bomba di sini petang semalam.

Baru-baru ini ADUN Kabong, Mohd.Chee Kadir mengusulkan keperluan untuk mewujudkan sebuah Balai Bomba dan Penyelamat Kabong selepas berlaku beberapa insiden kebakaran yang tidak mendapat bantuan awal daripada pihak bomba kerana jarak balai bomba yang ada jauh dari kawasan tragedi.

Usul itu katanya dilihat sebagai sangat mendesak pada masa kini dan perlu diambil perhatian sewajanya kata Chee.

Sehubungan dengan itu Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak, Penolong Pesuruhjaya Bomba, Jainal @ Zainal Madasin hadir ke sini petang semalam berkaitan perkara tersebut.

Hadir bersama -sama beliau ialah Ketua Zon 3 Sarawak, Penguasa Bomba Ramlan Marajan, Ketua Keselamatan Kebakaran Zon 3, TPgB Di Hatta bin Gobel dan Ketua Balai Bomba Saratok, Nazry Bin Mohamat membuat lawatan ke Kabong semalam.

Rombongan berkenaan membuat lawatan sekitar Pekan Kabong jam 4 petang sambil meneliti kewajaran pembinaan balai bomba dan kategori balai yang sepatutnya dibina di sini.

Chee Kadir baru-baru ini turut berkata kewajaran untuk membina sebuah balai bomba perlu diberi pertimbangan sewajarnya oleh pihak kerajaan dan beliau katanya Kita menghargai inisiatif yang diambil oleh Ahli Parlimen P.205, Ali Biju yang berhubung terus dengan Menteri Kerajaan Tempatan Dan Perumahan Persekutuan bagi memohon dibina sebuah balai bomba di sini.

Perkara tersebut turut beliau diajukan ketika Ucapan Perbahasan Usul Bajet Negeri Sarawak Tahun 2021.

Memetik ucapan Chee pada Persidangan Mesyuarat Ke-2 Penggal Ke – 5 Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke -18 baru-baru ini ,Chee menegaskan sekali lagi akan kewajaran pembinaan balai bomba di Kabong sebagai satu keperluan mendesak setelah berlaku beberapa kejadian kebakaran. Terbaharu kejadian membabitkan tiga buah rumah di Kampung Hlir Sungai Pala pada pagi 2 November lalu.

“Kalau tidak kerana semangat kesetiakawanan, sepakat dan keberanian penduduk Kabong saya pasti akan lebih banyak lagi rumah dimakan api.Syukur apa yang berlaku dapat dikawal penduduk dengan segala daya dan sumber air terhad sebelum bomba tiba.Jika tidak kita mungkin akan menyaksikan lebih banyak kemusnahan berlaku di lokasi tragedi.

“Faktor lokaliti adalah antara kewajaran yang harus dititikberatkan kerana balai bomba yang terdekat ialah Balai Bomba Saratok. Penduduk di Kabong sangat padat terutama di kawasan kampung asal dan tradisional merangkumi beberapa kampung kawasan tepi sungai. Kawasan penempatan ini sangat beriskio dengan rumah yang kedudukannya rapat-rapat serta berstruktur kayu kesemuanya.

“Sebagai langkah alternatif dan sementara pengwujudan semula Pasukan Bomba Sukarela Kabong perlu dilaksana,” ujarnya.

Dalam pada itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok, Nazry Mohamat memberitahu pihak berkuasa bomba negeri selepas tinjauan memberi respons positif tentang pembinaan balai bomba di Kabong.

” Respons timbalan pengarah positif dengan cadagan pembinaan balai bomba di Kabong memandangkan keadaan kepadatan penduduk dan jarak balai bomba sedia ada. Pihak kami akan terus berusaha menyuarakan perkara tersebut supaya ianya betul-betul menjadi kenyataan. Doakan yang terbaik,”ujarnya.