PUTRAJAYA: Kerajaan menaruh harapan tinggi agar Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dapat mengutip cukai berjumlah RM127 bilion yang ditetapkan pada tahun ini selain kutipan cukai langsung sebanyak RM143.9 bilion bagi 2021.

Ketika berkongsi harapan itu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata LHDN berperanan penting untuk memastikan kutipan cukai sentiasa di tahap optimum walaupun usaha terbabit sebegitu mencabar dalam situasi pandemik COVID-19.

Menurutnya, keupayaan LHDN memungut hasil negara secara efektif akan turut memudahkan kerajaan merealisasikan agenda pemulihan dan pembangunan negara yang digariskan dalam Belanjawan 2021 dan Rancangan Malaysia Ke-12.

“Usaha merealisasikan agenda kerajaan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara tidak akan tercapai jika tiada sumber kewangan yang mencukupi.

“Oleh itu, saya menyeru semua warga kerja LHDN untuk terus melaksanakan tugas bagi memastikan kerajaan mempunyai dana mencukupi untuk membiayai perbelanjaan negara,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Sambutan Hari Inovasi dan Integriti LHDN 2020 secara dalam talian, semalam seperti dipetik Bernama.

Tengku Zafrul turut menyifatkan Belanjawan 2021 itu sebagai medium mensejahterakan rakyat dan menyokong sektor perniagaan menerusi pengenalan langkah percukaian yang memberi manfaat kepada golongan sasar.

Ini menerusi pengurangan kadar cukai pendapatan, kenaikan had pelepasan serta perluasan skop pelepasan cukai pendapatan, pengecualian duti setem transaksi tertentu dan pemberian galakan cukai kepada syarikat secara bersasar.

Malah, keputusan tidak memperkenalkan sebarang cukai baharu adalah antara usaha berterusan kerajaan untuk menstabilkan ekonomi negara yang terkesan akibat COVID-19, katanya.