SIMANGGANG: Keprihatinan kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) terserlah kebelakangan ini dengan pelbagai bantuan terhadap golongan sasar.

Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis berkata, pelbagai jenis bantuan disalurkan yang bermula dari lahir hingga kematian melalui kementerian kebajikan bagi meningkatkan kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang itu menambah, hanya Sarawak satu-satunya negeri yang memberi bantuan seumpamanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Program Lawatan Rumah Ke Rumah Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Jeluka Pangiet pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau telah meluluskan peruntukan kepada Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Biro Wanita Rumah Jeluka, Sungai Suang Sabu masing-masing RM3,000 bagi menjalankan aktiviti tahunan mereka.