KUALA LUMPUR: Selepas 23 tahun ditubuhkan, Akademi Binaan Malaysia (ABM) berjaya melatih 146,746 belia dan 274,555 personel binaan dalam pelbagai bidang kemahiran.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, selaras dengan Akta 520 (Pindaan 2011) yang memperuntukkan kuasa menubuh, memajukan serta mengakreditasi pusat latihan industri pembinaan, Kementerian Kerja Raya (KKR) telah menubuhkan enam ABM di bawah seliaan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia.

“Semua pelatih yang menamatkan latihan dengan jayanya dianugerahkan Sijil Kompetensi Kemahiran Pembinaan (SKKP).

“Ini satu inisiatif kerajaan dalam meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran pekerja tempatan sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing.

“Bagaimanapun, persoalan sejauh mana ABM boleh menyediakan tenaga kerja mahir tertakluk kepada kemampuan kewangan yang diperuntukkan kepada CIDB Malaysia di bawah kerjasama strategik dengan agensi yang berkaitan.

“Malah, tertakluk juga kepada mereka yang berminat untuk terlibat dalam industri ini,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Betong Datuk Robert Lawson Chuat pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat sempena sidang mesyuarat ketiga, penggal ketiga Parlimen ke-14 di sini pada Selasa.

Jelasnya, kewujudan ABM benarbenar membuka peluang kepada anak Malaysia mendapatkan latihan kemahiran dalam industri binaan.