KUALA LUMPUR: Exco Pemuda Umno Malaysia, Azril Rizal Yusof Mohd Sarit membidas idea penyelesaian ekonomi  yang dikemukakan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Wan Ahmad Fayhsal dengan  ‘mencetak wang kertas’ oleh Bank Negara Malaysia bagi menambahkan duit poket secara pukal kepada rakyat.

“Pertama, saya melihat perumpamaan untuk Bank Pusat seperti Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mencetak wang hanya terpakai dalam situasi ketika Bank Pusat ingin mengurangkan sesuatu nilai mata wang yang masih bersandarkan  emas (seperti zaman Perang Dunia Pertama 1914-1918) atau terikat kepada sebarang komoditi yang lain.

“Kedua, Bank Pusat yang ingin melaksanakan kaedah mencetak wang ini juga bertujuan menurunkan nilai sesuatu mata wang itu dalam mekanisme kadar pertukaran tetap yang mana kaedah ini hanya relevan ketika era perjanjian Bretton Woods masih dilaksanakan (1944-1971),” katanya dalam  satu kenyataan.

Terdahulu, Wan Ahmad Fayhsal  mengemukakan idea untuk membuat penghapusan hutang (debt jubilee) kepada golongan M40 dan B40 juga tidak kurang menimbulkan kontroversi sama.

Jelas Azril Rizal Yusof yang juga Ketua Pemuda UMNO Temerloh, dengan melihat situasi semasa pelaksanaan sistem monetari moden hari ini, kedua-dua kaedah yang dinyatakan tidak lagi terpakai kerana BNM bukan berfungsi dalam sistem kewangan yang lapuk seperti yang mungkin difikirkan oleh Wan Ahmad Fayhsal.

“Sebaliknya tindakan Bank Pusat seperti BNM hari ini yang menggunakan kaedah apungan bebas (free floating) atau apungan terurus mata wang fiat di mana jika BNM diarahkan untuk membeli bon-bon kerajaan secara langsung, atau pun melaksanakan Pelonggaran Kuantitatif (Quantitive Easing), tetaplah dua mekanisme polisi monetari ini tidak melibatkan apa-apa aktiviti yang boleh dikelaskan sebagai mencetak wang sama ada secara cetak (printing) atau pun wang elektronik,” jelasnya.

“Jelas di sini, tidak ada mekanisme yang wujud untuk BNM memindahkan wang secara pukal ke dalam poket rakyat mahu pun ke dalam akaun rakyat di bank-bank komersil begitu sahaja seperti yang difahami Senator Wan Ahmad Fahysal sebaliknya BNM hanya mampu mewujudkan rizab dalam ‘reserve account’ yang mana pada akhirnya rizab ini juga tidak pernah keluar daripada kunci kira-kira Bank Pusat seperti BNM.

“Justeru, saya selaku Exco Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Pemuda Umno Malaysia melihat beberapa cadangan lain yang lebih praktikal dan realistik berbanding idea ‘cetak wang kertas’ untuk membantu rakyat dalam usaha pemulihan pasca Covid-19,ujarnya.