Tuesday, November 29, 2022

Bukan cybertrooper: Ahli  Parlimen Sibuti pertahankan JASA

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sibuti mempertahankan kewujudan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang dikatakan bukan berperanan sebagai  laskar siber. 

Lukanisman Awang Sauni, bekas pegawai jabatan itu berkata  JASA adalah sebuah jambatan gerak saraf yang diwujudkan 40 tahun lepas bagi menyalurkan maklumat kepada kerajaan.

“Memang saya terkesan dengan komen rakan-rakan tentang JASA memandangkan JASA bukanlah cybertrooper. Saya tidak akan menjadi ahli Parlimen sekiranya saya bekerja untuk menjadi cybertrooper ketika berada dalam JASA,” katanya. 

Jelasnya, beliau sendiri pernah terlibat menjelajah ke seluruh negara bagi mengumpul maklumat untuk disampaikan kepada kerajaan. 

Beliau berkata pemansuhan JASA sebelum ini juga telah menyebabkan ramai individu berdepan kehidupan yang sukar.

“Ada yang menjadi pembancuh simen, ada juga saya jumpa rakan-rakan JASA di Parlimen yang bekerja sebagai tukang hidang minuman sedangkan mereka mempunyai ijazah. Ada juga Pegawai JASA yang menghampiri tugas 15 tahun telah diberhentikan sedangkan mereka hanya tinggal beberapa minggu saja lagi untuk mendapatkan pekerjaan tetap dalam sektor kerajaan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan) di Dewan Rakyat, semalam.

Lukanisman berkata JASA pernah ke Ba’kelalan, Sarawak bagi membina sebuah padang futsal memandangkan fasiliti berkenaan diperlukan masyarakat di kawasan itu.

Beliau turut mencadangkan Ketua Pengarah JASA yang baharu perlu dilantik dalam kalangan pegawai tadbir dan diplomatik dan bukan ahli parti politik atau yang mempunyai kepentingan tertentu.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru