Sunday, November 27, 2022

Adakan dialog dengan pembeli rumah selesaikan isu diskaun

Secara Rawak

KUCHING: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Persekutuan digesa supaya mengadakan dialog dengan pembeli awal rumah di bawah PR1MA bagi menangani isu kurangnya rebat dan diskaun bagi kumpulan terbabit.

Ahli parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii berkata, kelihatan tidak terdapat ketergesaan di pihak menteri terbabit bagi menangani isu yang sudah berlarutan itu.

Katanya, para pembeli hanya  mahu layanan adil  daripada kementerian apabila mereka tidak menerima rebat seperti yang dinikmati pembeli  sebelum itu.

“Saya menerima jawapan yang sama daripada menteri seperti pada sesi persidangan Parlimen pada bulan Mei. Berdasarkan jawapan yang diberikan, mereka hanya mengadakan satu sesi dialog dengan pembeli di Kuala Lumpur pada 19 Nov 2019 berkaitan isu berkenaan,” jelas beliau melalui kenyataan di Facebooknya.

Menurut Dr Yii, sepatutnya ada satu lagi sesi dialog di Kuching pada 23 Nov 2019 namun sesi itu dibatalkan pada saat-saat akhir tanpa sebarang alasan konkrit, dan sehingga kini, belum ada tarikh baharu ditetapkan.

Beliau mempertikaikan mengapa kementerian terbabit berkeras mahu menunggu mahkamah, kerana isu berkenaan dapat idiselesaikan dengan cepat.

“Pada pandangan saya, ia tidak diperlukan, dan mereka tidak proaktif untuk menyelesaikan isu tersebut. Mengapa mereka harus berselindung di sebalik mahkamah sedangkan mereka dapat bersua dengan semua pembeli untuk mencapai situasi menang-menang bagi menyelesaikan isu itu?”, katanya lagi.

“Menteri harus turun ke bawah dan mengadakan dialog dengan para pembeli berkenaan. Banyak lagi isu lain dihadapi mereka termasuk mutu kerja, caj perkhidmatan, penyelenggaraan dan lewat menyerahkan kunci,” ujarnya.

Dr Yii berkata sementara projek itu dikategorikan sebagai mampu beli, banyak pihak yang beranggapan rumah yang dibeli mereka itu membabitkan pinjaman yang banyak atau membelanjakan wang simpanan mereka agar mereka mempunyai bumbung untuk berlindung daripada panas dan hujan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru