KUCHING: Briged Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak melakarkan satu lagi kejayaan apabila berjaya menahan dua lelaki warga tempatan disyaki menjalankam aktiviti pembalakan secara haram.

Menurut Komander Briged PGA Sarawak, SAC Mancha Ata, sepasukan polis dari Cawangan Risik Batalion 10 PGA, Sibu telah menjalankan serbuan dan pemeriksaan di sebuah kawasan
pembalakan bertempat di Jalan Bukit Engkrabai, Lubok Bemban, Mukah semalam.

Katanya, dalam serbuan itu, 80 batang kayu pelbagai saiz, tiga buah jengkaut, sebuah lori, seunit gergaji berantai, dua pam air dan sebuah generator dirampas.

“Anggaran nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM 793,500. Tangkapan dan rampasan diserahkan kepada pihak Jabatan Hutan Wilayah Sibu untuk tindakan dan siasatan lanjut.

“Kesalahan disiasat di bawah Seksyen 96, Ordinan Hutan Sarawak 2015,” jelas beliau dalam satu kenyataan.

Mancha turut memberitahu, sepanjang pengoperasian yang dilaksanakan sejak awal tahun hingga 17 November ini, PGA Briged Sarawak telah mencatatkam kejayaan rampasan bernilai RM 35,917,417.

Tambahnya, PGA Briged Sarawak juga merekodkan sebanyak 149 kes yang melibatkan jumlah tangkapan seramai 412 orang yang terdiri dari 182 warga tempatan dan 230 pendatang tanpa izin.