KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan (DPPWP) menzahirkan ucapan tahniah dan menyokong penuh langkah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang memperketat penjualan minuman keras  melalui pelaksanaan Garis Panduan (GP) dan Syarat Permohonan Lesen Minuman Keras WPKL yang baharu.

Menurut Ketua Pemudanya, Mohammad Rashidi Abdul Razak, langkah ini amat perlu agar dapat mengawl kemudahdapatan penjualan dan pengambilan minuman beralkohol serta kawalan keselamatan, kesihatan warga kota.

“Tindakan tersebut bertepatan dengan pelbagai usaha yang telah digembleng oleh ramai pihak bagi memastikan penjualan minuman keras diberikan perhatian yang khusus oleh pihak berwajib. Langkah tegas ini sememangnya amat dinantikan oleh rakyat susulan peningkatan kes kemalangan berkaitan pemandu mabuk sejak kebelakangan ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Berdasarkan garis panduan terbaharu ini, tiada lagi lesen baru akan dikeluarkan bagi kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai Ubat Cina bagi penjualan minuman keras berkuat kuasa 1 Oktober 2021 serta lesen sedia ada boleh diperbaharui sehingga 30 September 2021 sahaja.

DPPWP turut menyeru agar Majlis Perwakilan Penduduk, jawatankuasa masjid dan surau berperanan dalam memantau iklan Notis Permohonan Lesen Menjual Minuman (Liqour Yang Memabukkan) oleh pemohon yang disiarkan dalam empat akhbar utama tempatan khususnya bagi premis yang berada di kawasan majoriti penduduk Muslim.

“Pihak tersebut perlu bertindak proaktif dengan menyatakan suara bantahan sebelum lesen dikeluarkan oleh pihak berkuasa,” ujarnya.

DPPWP turut berharap supaya pihak DBKL tidak berkompromi terhadap had penjualan masa khususnya di rumah awam kelas 1 serta rumah bir yang ditetapkan bermula 10 pagi sehingga 12 tengah malam.

 “Hal yang demikian kerana kebanyakan kes kemalangan yang melibatkan pemandu mabuk berlaku dalam tempoh masa tersebut. Sewajarnya ketetapan had masa jualan itu diteliti dengan mendalam kerana ia juga bakal mencetuskan kebimbangan masyarakat awam jika tidak ditangani dengan efisien,” katanya lagi.

Walaubagaimanapun, jelasnya,  DPPWP ingin menzahirkan penghargaan atas keberanian pihak DBKL dalam menangani isu pemberian lesen minuman keras khususnya di Wilayah Persekutuan. 

“Garis panduan ini telah disemak dan dibuat penambahbaikan melalui perbincangan  bersama dengan agensi-agensi berkaitan seperti Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Kastam DiRaja Malaysia, Polis DiRaja Malaysia, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, pihak berkepentingan dan NGO,” katanya.

“Sewajarnya PBT lain mengambil inisiatif yang sama dalam membendung kebejatan implikasi minuman keras terhadap masyarakat di negara ini,’ kata beliau lagi.