KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar berkata dalam keadaan sekarang ini pelaksanaan moratorium dan KWSP adalah penyelamat rakyat yang amat terkesan ekoran penularan wabak Covid-19.

“Saya anggap hari ini moratorium dan KWSP ini sebagai ‘pelampung’. Ini pelampung rakyat punya. Rakyat tengah nak tenggelam…selamatkan mereka, campakkan pelampung kepada mereka. Bila mereka (rakyat) sudah bernafas ambillah balik pelampung ini.

“Mengapa waktu rakyat memerlukan pelampung ini kerajaan takut hendak bagi? Saya meminta anggaplah ini sebagai pelampung penyelamat,” katanya ketika sesi perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat, semalam seperti dilapor portal Umno.

Tambah Noh lagi, analogi yang diberikan oleh Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari adalah kurang tepat dan boleh menyebabkan rakyat terguris dengan tindakannya.

“Syarat mengenakan moratorium dengan KWSP seolah-olah syarat Sultan Melaka hendak pergi meminang Puteri Gunung Ledang. Saya ingat kurang tepat analogi itu.

“Kita kena lihat Hikayat Puteri Gunung Ledang hendak kena buat jambatan emas. Jambatan emas kena cari duit… nak kena buat jambatan, nak kena cari nyamuk, rakyat terlibat… ini tidak ada,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menyatakan BN akan menyokong Belanjawan 2021 secara bersyarat dengan meminta beberapa perkara ditambah baik termasuk lanjutan moratorium pinjaman secara automatik sehingga Jun tahun depan dan membenarkan pengeluaran Akaun 1 KWSP secara ‘one-off’ sebanyak RM10,000 ketika sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat baru-baru ini.