PADA Jun 2019, Lim Guan Eng kelihatan begitu bersemangat dan teruja ketika berucap pada majlis makan malam ‘Sarawak Here We Come’ di Kuching anjuran DAP Sarawak.

Maklumlah, DAP baru menikmati manisnya madu kuasa di Putrajaya selepas menumbangkan BN dalam PRU-14, Mei 2018.

Sebagai Menteri Kewangan, setiausaha agung DAP itu dilihat sebagai seorang yang amat berkuasa, selain lantang bersuara dan pemimpin yang bermulut celopar. Sekali-sekala beliau kelihatan bagai kaduk naik junjung.

Malah, bukan mengejutkan, ada yang mempunyai tanggapan, anak Lim Kit Siang itu sebagai seorang yang berperwatakan angkuh.

Di majlis berkenaan, Lim mengingatkan bahawa Sarawak mungkin muflis dalam tempoh tiga tahun di bawah pentadbiran GPS.

Pada majlis makan malam mengutip derma DAP Sarawak itu, Lim berkata, Sarawak mungkin mengalami nasib seperti Kelantan, yang menyaksikan kerajaan negeri berkenaan tidak mampu membayar gaji kakitangannya kerana pentadbiran yang lemah.

Justeru, beliau menyeru rakyat Sarawak untuk bersama-sama menyingkirkan GPS pada PRN-12 akan datang dan menggantikan kepemimpinan negeri kepada Pakatan Harapan (PH).

Anda semua tahu apa yang sudah terjadi?

Belum pun sempat Lim menyingkirkan GPS, beliau telah pun tersingkir dari kerusinya sebagai Menteri Kewangan. PH telah tidak lagi berkuasa gara-gara bikinan mereka sendiri.

Betapa ironinya politik dan kuasa! Jadi, moral daripada kisah ini adalah, apabila berkuasa jangan terlalu bercakap besar dan sombong.

Rekod prestasi PH amat buruk. PH gagal menunaikan banyak janji, termasuk janji memberi 20 peratus royalti minyak kepada Sarawak.

Dalam tempoh 22 bulan, kejayaan PH hanya satu: membatalkan begitu banyak projek, termasuk jalan raya dan jambatan untuk kemudahan rakyat Sarawak.

Lim menggunakan strategi menakut-nakutkan rakyat Sarawak, seperti yang selalu beliau lakukan.

Ini satu daripada strategi propaganda yang digunakan pemimpin dunia. Kita harus berhati-hati supaya tidak mudah terperangkap oleh jaring strategi berkenaan.

Masih ingat akan kata-kata beliau tentang kedudukan kewangan negara tidak lama selepas dilantik menjadi Menteri Kewangan? Rakyat diperbodoh oleh Lim dan bekas Perdana Menteri apabila rakyat diminta menderma untuk Tabung Harapan Malaysia kononnya untuk membayar hutang kerajaan. Jumlah yang dikutip untuk tabung itu ialah RM205 juta.

Ini satu strategi naratif untuk menggambarkan betapa teruknya kedudukan kewangan kerajaan.

Lim akhirnya hanya diingat oleh 33 juta rakyat sebagai Menteri Kewangan yang memberi wang RM30 melalui e-wallet.

Kalaulah kedudukan kewangan kerajaan persekutuan begitu teruk sehingga perlu meminta derma daripada rakyat, takkan, kerajaan sekarang mampu memberi bantuan bernilai ribuan ringgit kepada rakyat ketika mereka berdepan ancaman Covid-19.

Menurut dalil Lim, dengan belanjawan tahunan sebanyak RM11 bilion, rizab RM30 bilion Sarawak akan kering dalam masa tiga tahun. Asas perkiraan Lim adalah begitu dangkal dan simplistik. Lim perlu kembali belajar aspek pengurusan kewangan dan ekonomi.

Tidak hairanlah, banyak pihak di Sarawak, termasuk Pas, menyangkal keras dakwaan Lim itu yang jelas mempunyai agenda dan motif politik.

Tidak ada tanda bahawa Sarawak akan muflis. Sebaliknya, kedudukan kewangannya semakin kukuh.

Buktinya, peruntukan besar, sekitar RM10 bilion untuk Belanjawan Negeri 2021 seperti yang dibentangkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada Isnin lalu.

Tidak ada mana-mana pemimpin yang bertanggungjkawab yang merumus bajet dengan memetik angka dari langit. Belanjawan inklusif dan lebihan itu adalah mengambil kira pendapatan atau hasil.

Kesilapan Lim ialah beliau terlalu taasub berpolitik sehingga menjadi tidak waras dan tidak bertanggungjawab, malah tidak profesional lagi. Beliau tidak menggunakan ilmu dan kemahiran perakaunan yang dipelajarinya dengan betul.
Lim lupa bahawa Abang Johari punya perkiraan yang pragmatik dan lebih ke hadapan berbanding dengan beliau. Buktinya, empat belanjawan yang dibentangkannya sejak menjadi Ketua Menteri pada awal 2017 adalah sekitar RM10 bilion masing-masingnya.

Maksudnya, dalam empat belanjawan, peruntukan keseluruhan sudah mencecah sekitar RM40 bilion. Belanjawan itu sekitar 70 peratus adalah untuk pembangunan, manakala hanya 30 peratus untuk pengurusan.

Yang lebih menarik, selama empat tahun berturut-turut, belanjawan Sarawak adalah mesra rakyat, dengan tumpuan kepada pembangunan luar bandar.

Ingat, belanjawan Sarawak adalah terbesar berbanding mana-mana negeri, termasuk Pulau Pinang yang pernah dipimpin Lim. Juga, Johor dan Selangor yang disifatkan sebagai negeri maju.

Malah, belanjawan kali ini dijangka menghasilkan lebihan RM180 juta memandangkan anggaran pendapatan negeri untuk tahun 2021 berjumlah RM10.012 bilion.

Hujah Lim begitu dangkal, dan amat memalukan sebagai Menteri Kewangan. Seluruh dunia tahu, bagaimana prestasi beliau sebagai Menteri Kewangan. Tidak syak lagi, beliau antara Menteri Kewangan paling teruk dalam sejarah negara.

Abang Johari mampu mengemukakan belanjawan besar kerana di bawah kepemimpinannya Sarawak berjaya mencari sumber pendapatan yang lebih banyak dan pelbagai.

Lim lupa bahawa Sarawak juga boleh menaikkan cukai jualan ke atas produk petroleum berdasarkan perlembagaan negeri.

Pengurusan kewangan yang bersandarkan prinsip dan amalan yang baik, disiplin, ketat dan berhemah memungkinkan Sarawak mengurus negeri ini dengan baik, dan seterusnya berjaya mengemukakan belanjawan yang mengagumkan dan dicemburui negeri-negeri lain.

Penarafan oleh Standard & Poors Global, sebuah syarikat penarafan antarabangsa terbilang,yang memberi A kepada pengurusan kewangan Sarawak membuktikan kedangkalan ilmu ekonomi dan kewangan beliau sebagai Menteri Kewangan.

Penarafan tersebut, sebaliknya, membuktikan Sarawak mengamalkan tadbir urus yang baik dan mampu mengekalkan prestasi kewangan yang baik.

Di bawah kepemimpinannya, Abang Johari memastikan Sarawak mempunyai kapasiti dan keupayaan kewangan untuk melaksanakan rancangan dan komitmen dari segi pembangunan.

Yang perlu kita ingat, ialah beliau telah mengemukakan model kewangan baharu melalui Bank Pambangunan Sarawak (DBOS), serta peluang dalam pasaran modal bagi menyediakan sumber pembiayaan alternatif yang berdaya saing.

Sebenarnya, untuk 18 tahun berturut-turut, Sarawak diberi Pensijilan Sihat bagi Akaun Awam.
Ini merupakan testimoni kepada amalan pentadbiran yang baik dalam menguruskan soal kewangan dengan kaedah yang telus dan bertanggungjawab.

Hal ini turut diakui oleh Presiden PSB Datuk Seri Wong Soon Koh ketika beliau menjadi Menteri Kewangan Kedua.

Moody’s dan Standard & Poor’s masing-masing malah pernah penarafan kredit gred pelaburan A3 dan A bagi Sarawak.

Penarafan ini mencerminkan rekod berterusan pengurusan kewangan kukuh dan prestasi disokong oleh simpanan kukuh dan amalan bajet yang berhemah. Hal ini perlu difahami rakyat agar tidak mudah dikelirukan mereka yang punya motif politik jahat.

Dengan pendekatan dan strategi ini, ia membolehkan kerajaan mengurus aliran tunai dengan lebih efisien. Pada masa yang sama, memastikan keupayaan kewangan untuk negeri ini agar ia terus berada di atas landasan yang betul dan mantap menuju 2030.

Daripada belanjawan Sarawak yang besar itu, dan kedudukan kewangannya yang kukuh, berkat kreativiti Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Abang Johari menerokai model kewangan alternatif dan mencari sumber kewangan lain termasuk SST untuk minyak dan gas, Lim kelihatannya, perlu belajar bagaimana untuk mengurus kewangan negara dan negeri daripada pemimpin Sarawak.

Nasib baik rakyat Sarawak tidak mudah terpedaya oleh omong kosong dan dongeng Lim yang ternyata gagal sebagai Menteri Kewangan.

Kelihatannya, kalau dia berjiwa besar, Lim perlu memohon maaf kepada rakyat Sarawak kerana membuat tuduhan yang tidak berasas dengan mendakwa Sarawak bakal muflis dalam tiga tahun.