Undi pos dikenali sebagai suara melalui surat atau surat suara. Undi pos juga dikenali undi dari rumah di Amerika Syarikat. Kewujudan undi pos pertama kali diperkenalkan ketika perang saudara di Amerika Syarikat, kemudian berkembang kepada mana-mana pihak yang tidak dapat ke pusat pusat pengundian pada hari mengundi. Undi pos akan dikirim ke rumah pemilih berdaftar dan dikembalikan melalui pos atau ke dalam peti simpanan selamat atau di pusat pengundian.

Kajian di negara barat menunjukkan jumlah yang mahu diadakan menggunakan undi pos semakin meningkat. Dengan sistem negara maju yang lebih telus, penipuan dan kelemahan melalui pengundian pos kurang daripada satu peratus. Di negeri-negeri di Amerika Syarikat pada tahun 2020, terdapat lima negeri, iaitu Colorado, Hawaii, Oregon, Utah dan Washington mengadakan pilihan raya hampir keseluruhan melalui pos. Pengundian melalui pos adalah pilihan utama dalam kalangan 33 negeri di Amerika Syarikat dan terdapat 33 juta pengundi Amerika memanfaatkan undi dari rumah ini.

Namun ketika Presiden Donald Trump berkuasa beliau telah menyatakan bahawa akan menyekat pembiayaan yang diperlukan untuk perkhidmatan pos yang memastikan undi tersebut diproses dengan selamat dan tepat pada masanya.

Undi Pos di Negara Maju

Di Australia terdapat 1.2 juta undi pos pada pilihan raya umum 2016 dan ini merupakan peningkatan dari semasa ke semasa. Penggunaan undi pos telah meningkat . Pertama undi pos dilaksanakan pada tahun 1903 dan kemudian terbuka kepada mana-mana pengundi tidak dapat mengundi di pusat pengundi atau tengah sakit, bekerja, atau terdapat suasana keselamatan setempat.

Di Kanada, undi pos bermula diperkenalkan untuk semua tentera mereka pada tahun 1917 dan diperluas kepada pekerja perkhidmatan awam pada tahun 1970. Pada tahun 1993 undang-undang diluluskan untuk membenarkan seluruh rakyat Kanada menggunakan sistem undi pos.

Ketika pandemik Covid-19 melanda dunia, negara Perancis membenarkan undi pos apabila berdepan risiko pandemik corona virus, sakit dan mana-mana yang tinggal jauh terpencil.

Di negara Jerman undi pos telah dilaksanakan sejak tahun 1957 yang asalnya untuk memastikan rakyat Jerman terutamanya golongan tua, sakit, kurang upaya, tinggal di luar negara untuk terlibat dalam proses mengundi dan pilihan raya. Pada tahun 2008, undang-undang membenarkan sesiapa sahaja menggunakan undi pos dan setiap kali pilihan raya, jumlah rakyat Jerman menggunakan sistem ini semakin meningkat.

Sepanyol pula undi pos dilaksanakan dalam semua jenis pilihan raya termasuk pilihan raya majlis tempatan, wilayah dan negara. Undi pos ini terbuka kepada pihak berhalangan termasuk sakit, kurang upaya, tidak ada di kawasan dibenarkan membuat undi pos di pejabat pos. Namun permohonan ini perlu dibuktikan dengan bukti semasa dan boleh permohonan boleh dimohon sendiri atau melalui wakilnya.

Di Switzerland terdapat undang-undang membenarkan undi pos dalam mana-mana jenis pilihan raya tempatan, negeri atau persekutuan. Pengundi akan menerima undi melalui pos dan dikirim kembali. Terdapat 90 peratus penduduk menggunakan sistem ini.

Di UK pula terdapat undi pos atau undi proksi dibenarkan dalam mana-mana pilihan raya. Undi ini dibenarkan sekiranya pengundi berada dalam keadaan yang tidak terduga termasuklah sedang bekerja, ketidakupayaan, sedang melanjutkan pengajian di luar kawasan pilihan raya dan sebagainya.

Realiti di Malaysia

Kaedah undi pos merupakan satu kaedah yang dianggap efisien di kebanyakan negara maju. Namun di Malaysia undang-undang Suruhanjaya Pilihan Raya hanya mengehadkan undi pos hanya kepada rakyat Malaysia di luar negara sahaja. Itu pun baru dimulakan pada tahun 2013. Justeru, perlunya SPR bergerak secara lebih dinamik setanding dengan negara-negara maju yang lain untuk untuk memperluaskannya undang-undang SPR dengan melakukan pindaan.

Namun kesediaan SPR untuk melaksanakannya dari segi kepakaran, tenaga kerja, kapasiti, logistik dan tempoh masa akan menjadi hambatan memandangkan pembubaran dikatakan akan berlaku lebih awal daripada 2023, iaitu lebih awal daripada tarikh penggal sebenar.

Isu kepakaran dalam menangani hal seumpama ini terutama di peringkat awal pelaksanaan dan pemantauan, aspek logistik dalam keadaan norma baru untuk disesuaikan dengan keperluan semasa. Selain itu, masa diperlukan untuk meneliti keterbukaan dalam konteks undi pos dan memerlukan proses-proses dan penyediaan prosedur yang benar-benar telus, berwibawa dan berintergiti bagi memastikan tidak ada pihak yang akan mendakwa bahawa pihak kerajaan memanipulasikan sistem ini menggunakan alasan pandemik Covid-19 yang sedang berlaku. Daripada segi jangka panjang pos lebih menjimatkan berbanding undi biasa sekiranya dilaksanakan secara besar-besaran dan menyeluruh.

Dengan alasan masa yang diperlukan untuk mengkaji secara menyeluruh daripada aspek idea, konsep, prosedur pelaksanaan, sudah pasti SPR di Malaysia belum mampu melaksanakan undi pos seperti di Switzerland dan Amerika Syarikat. Tambahan pula keyakinan ketelusan terhadap undi pos di Malaysia tidak setinggi di Switzerland dan Amerika Syarikat. Yang kalah biasanya akan mendakwa kononnya berlakunya penyelewengan undi pos yang hanya baru dilaksanakan secara besar-besaran

Isu Kempen

Dalam suasana norma baharu pandemic Covid-19, pengendalian kempen perlu diperluaskan kepada penggunaan e-kempen seperti mengadakan ceramah atau debat secara alam maya. Namun e-kempen melalui media sosial seperti Youtube , Facebook dan Whatsapp hanya sesuai di kawasan yang mempunyai akses internet yang baik dan di kawasan bandar dan bahagian besar manakala penggunaannya kurang memberikan impak kepada pengundi di luar bandar yang kurang terdedah dan mesra dengan situasi sebegini dan akhirnya menyebabkan kemenangan tidak berpihak kepada pihak yang menggunakan e-kempen di kawasan yang masyarakat kurang literasi politik suasana politik baru yang menggunakan kaedah ini.

Apapun, dalam penggunaan undi pos atau alternatif lain dalam berdepan pilihan raya, perlunya tidak ada kompromi terhadap isu prosedur operasi standard (SOP) apabila berlakunya pembubaran, penamaan calon dan kempen pilihan raya. Pelaksanaan secara lebih ketat SOP boleh menyelamat ancaman kesihatan rakyat di negara ini. Kelonggaran SOP ialah perkara yang perlu dielakkan apabila musim pilihan raya bermula.

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.