KUCHING: “Tidak wajar membandingkan peruntukan Sarawak dengan Singapura dari segi bantuan kewangan pandemik Covid-19,” kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau berkata demikian mengulas isu yang dibangkitkan Adun Bawang Assan Datuk Seri Wong Soon Koh bahawa Kerajaan Sarawak perlu membelanjakan lebih banyak untuk membantu rakyat dalam keadaan sekarang.

“Dalam Bajet 2021, kita memberikan sejumlah besar peruntukan untuk melaksanakan pelbagai langkah demi kesejahteraan rakyat.

“Peruntukan sebanyak RM1.74 bilion dalam Bantuan Khas Sarawakkku Sayang (BKSS) jauh lebih banyak daripada peruntukan yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan Kedua berkata demikian dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dun di sini pada Jumaat.

“Oleh itu, adalah tidak wajar membandingkan peruntukan Sarawak dengan Singapura.

“Bagi negeri-negeri lain, peruntukan yang diberikan juga sedikit berbanding Sarawak. Contohnya Pulau Pinang memperuntukkan RM151 juta; Selangor (RM272 juta), Sabah (RM210 juta) dan Johor (RM174.5 juta),” ujarnya.

Beliau turut mendedahkan Kerajaan Sarawak terus memanfaatkan Inisiatif Pembiayaan Alternatif Negeri untuk melengkapkan belanjawan pembangunan terutamanya membiayai projek infrastruktur utama seperti jalan dan jambatan; penyediaan bekalan air dan elektrik; projek telekomunikasi dan ekonomi digital.

Katanya lagi, kerajaan turut menanggung perbelanjaan berlebihan untuk meningkatkan kadar pekerjaan.