KUCHING: Sektor pertanian negeri terus berdaya tahan dan menjadi penyumbang penting kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Negeri.
Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata sektor pertanian menyumbang 12.1 peratus atau RM16.5 bilion kepada KDNK Negeri dan mencatatkan lebihan Imbangan Perdagangan Pertanian Negeri sebanyak RM6.9 bilion pada tahun 2019.
Bagaimanapun, Imbangan Perdagangan Makanan negeri mengalami defisit RM3.98 bilion pada tahun 2019.
Katanya, Sarawak memfokuskan kepada tiga inisiatif utama dalam usaha mencapai sasaran 70 peratus tahap sara diri (SSL) padi pada 2030 iaitu memastikan bekalan benih padi yang mencukupi, meningkatkan infrastruktur ladang dan memperkasakan mekanisasi ladang untuk meningkatkan produktiviti padi.
“Kerajaan Negeri komited meneruskan bantuan kepada pekebun kecil yang menanam tanaman komoditi utama.
“Pada tahun 2020, sejumlah RM76.1 juta telah dibelanjakan untuk tanaman komoditi dan memanfaatkan 22,683 keluarga petani,” katanya sesi penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-18, semalam.
Timbalan Ketua Menteri itu menambah, kerajaan negeri juga telah mengenal pasti empat lokasi untuk dibangunkan sebagai agroparks di Sadong Jaya, Samarahan; Parit Bugis, Sarikei; Lubok Tamang, Debak dan Sungai Tisak, Simanggang.
“Agropark adalah model pembangunan tanah yang baru melibatkan syarikat dengan teknologi dan akes pasaran dan juga memberi peluang kepada pekebun kecil untuk melibatkan diri dalam komersil dan memacu pasaran pertanian,” katanya.
Menyentuh sektor perikanan, Datuk Amar Douglas memberitahu sehingga kini, seluas 1,974 hektar kawasan telah diwartakan sebagai Zon Industri Akuakultur (AIZ) termasuk Batang Ai, Rambungan Loba Stoh, Selalang dan Sundar Awat-awat.
“Di bawah Rancangan Malaysia Ke-11, seramai 70 petani di AIZ Batang Ai dan Sundar Awat-Awat telah dibantu dengan jumlah peruntukan sebanyak RM10 juta untuk ternakan ikan tilapia merah dan siakap.
“Dari segi pasaran eksport, salah satu syarikat terkemuka di Sarawak telah mengeksport 2,251 tan metrik udang beku bernilai RM61 juta ke 10 negara pada tahun 2019.”