KUCHING: Ketua Menteri  Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg percaya, Sarawak kini berada di atas landasan tepat untuk muncul negeri berpendapatan tinggi menjelang  2030. 

Bagaiomanapun, menurut beliau yang juga Menteri Kewangan dan Perancangan Ekonomi, untuk mencapai sasaran tersebut, Sarawak  perlu memiliki bakat yang mencukupi, prasarana baik, kemudahan awam, ketersambungan dan komunikasi yang dapat mendukung dan menarik pelaburan swasta.

“Inilah sebabnya Kerajaan Negeri telah memperuntukkan dana yang banyak untuk tujuan itu,” kata Ketua Menteri dalam ucapan penggulungan Belanjawan 2021 di DUN, semalam.

Pada 9 November lalu, Abang Johari mengumumkan Belanjawan Sarawak 2021 bernilai RM9.832 bilion dengan jangkaan menghasilkan lebihan RM180 juta.

“Bagi mencapai transformasi ekonomi, Kerajaan Sarawak Government  akan memberi penekanan dalam kepelbagaian hasil,” jelasnya. 

“Kita juga perlu bergerak dari aktiviti huluan kepada aktiviti hiliran yang bernilai tinggi, dengan melakukan usaha menaik taraf dalam prasarana  perisian dan perkakasan kesalingthubungan bagi meletakkan Sarawak dalam peta pelaburan global,” tegas beliau.

Selain daripada  itu,  usaha meningkatkan kemahiran modal insan akan dilakukan bagi memperbaiki daya pengeluaran pekerja yang dapat diterjemahkan dalam bentuk pendapatan isi rumah lebih tinggi untuk rakyat,” katanya.

Abang Johari berkata,  inisiatif dan projek akan juga dilaksanakan berdasarkan amalan dan dasar alam sekitar yang diiktiraf bagi menjamin pertumbuhan ekonomi Sarawak yang mampan.

Akhirnya, tegas beliau,  semua dasar dan langkah pemangkin akan dipacu oleh transformasi digital dan inovasi dalam segenap sektor ekonomi.