KUCHING: Ketua Menteri  Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menjelaskan Kerajaan Negeri di bawah GPS melaksanakan pembangunan mengikut acuan Sarawak, demi rakyat Sarawak. 

“Kita melihat projek rakyat, terutama projek-projek pembangunan luar bandar sebagai usaha yang sangat penting dan satu amanah yang perlu kita tunaikan kepada rakyat,” kata dalam ucapan penggulungan Belanjawan 2021 di Dewan Undangan Negeri di sini, semalam.

“Saya sangat bersukacita kerana impak pelaksanaan projek rakyat telah mula dikecapi oleh segenap lapisan rakyat Sarawak,” katanya.  

Beliau berkata kawasan yang dahulunya menghadapi masalah air yang kritikal kini telah mendapat bekalan air bersih dan terawat.

“Kampung dan rumah panjang juga telah menikmati bekalan elektrik.  Kawasan terpencil juga telah berjaya dihubungkan dengan rangkaian jalan dan jambatan bernilai berbilion-bilion ringgit,” katanya.

Pada Isnin lalu, Abang Johari  yang juga Menteri Kewangan dan Perancangan Ekonomi membentangkan Belanjawan 2021 dengan peruntukan RM9.832 bilion,  belanjawan negeri  terbesar di negara ini.

Sebanyak RM6.304 bilion atau 62 peratus daripadanya adalah untuk perbelanjaan pembangunan.

Beliau berkata, untuk tujuan itu, sejumlah RM4.251 bilion atau 67 peratus daripada perbelanjaan pembangunan adalah untuk projek pembangunan di kawasan luar bandar.