KUALA LUMPUR: Sebanyak RM200 juta peruntukan tambahan diberikan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) bagi pelaksanaan pakej rangsangan di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan 2021.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri dalam kenyataan hari ini menjelaskan selain peruntukan yang telah diumumkan Menteri Kewangan semasa pembentangan Belanjawan 2021, terdapat beberapa peruntukan lain di bawah MOTAC khusus untuk membantu sektor pelancongan, seni dan budaya.

“Ini diharapkan dapat merangsang dan menyuntik perbelanjaan domestik secara konsisten dan seterusnya mewujudkan kesan gandaan ekonomi khususnya yang berantaian dengan sektor pelancongan, seni dan budaya,” katanya seperti dilapor Bernama.

Beliau berkata pelaksanaan pakej rangsangan tersebut termasuk baucar penginapan, diskaun destinasi pelancongan, diskaun pakej pelancongan keluarga serta penyemarakan seni dan budaya.

“Turut termasuk dalam pelan pemulihan ini ialah potongan diskaun pengangkutan, diskaun membeli-belah dan perkhidmatan diskaun pakej bagi ‘frontliners’ serta Kempen Meet in Malaysia,” katanya.

Semalam, beliau mempengerusikan sesi libat urus bersama-sama penggiat industri pelancongan dan kebudayaan secara dalam talian.

Antara yang terbabit ialah syarikat penerbangan Malaysia Airlines, AirAsia, Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO) dan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan).

Nancy juga berkata kerajaan sangat memahami dan merasai situasi penggiat industri yang amat terkesan dengan pandemik COVID-19 dan akan berusaha memastikan industri ini kekal berdaya saing dan pulih dengan cepat melalui pelbagai pakej rangsangan dan pelan pemulihan yang akan dilaksanakan berdasarkan belanjawan yang diumumkan