KUCHING: Program membanteras kemiskinan di negeri ini  terbukti berkesan dan berjaya menurunkan kadar kemiskinan, kata Ketua Menteri Datuk patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata,  data Jabatan Statistik Malaysia membuktikan berdasarkan Garis Kemiskinan Pendapatan 2004 sebanyak RM765, kadar kemiskinan di Sarawak telah dikurangkan daripada 21 peratus pada 1989 kepada 6.7 peratus pada 1999.

Kadar itu, kata beliau yang juga Menteri Kewangan dan Perancangan Ekonomi, dikurangkan menjadi 0.3 peratus  pada tahun lepas.

“Kalaupun kita gunakan PKI terkini RM2,131 pada 2019, kadar kemiskinan juga memperlihatkan penurunan daripada 11.9 peratus pada 2016 kepada 9.0 peratus pada tahun lalu,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan  Belanjawan 2021 sekitar sejam di DUN, di sini, semalam.

Bagaimanapun, beliau mengakui banyak lagi yang perlu dilakukan untuk membanteras kemiskinan di Sarawak. 

“Untuk itu, kami akan mempergiat usaha dengan membawa mereka ke dalam arus perdana pembangunan melalui konektiviti fizikal, memperbaiki kemahiran mereka dan mewujudkan lebih banyak kegiatan yang menjana pendapatan,” ujarnya.

Abang Johari berkata dalam Belanjawan 2021, pentadbiran beliau juga memberi perhatian khusus terhadap usaha melaksanakan program jaringan keselamatan sosial.

“Jumlah yang banyak diperuntukkan untuk melaksanakan program meliputi seluruh masyarakat terutamanya yang kurang bernasib baik. Ini akan meredakan impak Covid-19 terhadap kumpulan terbabit,” katanya lagi.