KUCHING: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah membayar sejumlah hampir RM800 juta kepada 397,000 isi rumah dan 392,000 individu Bujang B40 yang layak menerima Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS).

Bagaimanapun, ujar Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, Kerajaan Sarawak telah membuka ruang kepada mereka yang tercicir daripada bantuan ini untuk membuat rayuan dan sehingga 31 Mei 2020, seramai 82,000 ketua isi rumah dan 40,000 individu bujang B40 memenuhi kriteria yang telah ditetapkan dan layak mendapat bantuan ini.

“Oleh yang demikian, saya dengan sukacitanya mengumumkan bayaran khas RM250 sebulan untuk tempoh 6 bulan kepada 82,000 ketua isi rumah B40 yang telah berjaya dalam rayuan.

“Sebahagian pembayaran akan dibuat tahun ini dan selebihnya pada tahun hadapan.

“Manakala, 40,000 individu bujang B40 yang berjaya dalam rayuan akan dibayar secara one-off RM500. Pembayaran akan dibuat pada bulan Disember 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan Belanjawan 2021 dalam Persidangan Hari Kelima Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke 18 pada Jumaat.

Dengan kelulusan ini, secara keseluruhannya, Kerajaan GPS Sarawak telah membelanjakan sejumlah RM943 juta kepada 479,000 Ketua Isi Rumah dan 432,000 individu bujang B40 yang tertinggi bantuan di kalangan negeri-negeri dan kedua terbesar selepas bantuan Prihatin Nasional.