KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Belanjawan 2021 yang dibentangkan beliau pada Isnin lalu, merupakan pelan masa depan bagi Sarawak menuju 2030.

Jelasnya, ia memperlihatkan nilai dan aspirasi rakyat Sarawak, mewujudkan peluang untuk semua, meningkatkan taraf hidup, dan Sarawak yang aman dan mampan.

“Masa depan adalah dalam genggaman kita. Sementara ia memerlukan usaha bersama semua rakyat Sarawak untuk bangkit dan membina ekonomi yang kukuh, ia juga memerlukan kita kita eermua bekerjasama berdepan dengan cabaran di hadapan. Ia bukan mudah,” katanya dalam ucapan penggulungan Belanjawan 2021 di DUN, semalam.

“Namun saya penuh yakin sebagai rakyat yang bersatu padu dan kuat bekerja, saya begitu optimis tentang masa depan Sarawak,” katanya.

“Saya  sedar apabila kita bersatu ketika kita berdepan cabaran, kita akan muncul lebih kuat dan lebih baik daripada sebelum ini. Saya tahu apabila kita bekerja bersama-sama, tiada batasan tentang apa-apa yang dapat kita capai. Bersama kita akan dapat melangkah ke hadapan untuk melakukan inovasi, mencipta peluang, dan menjadikan Sarawak lebih teguh daripada sebelumnya,” tegas beliau yang juga Menteri Kewangan dan Perancangan Ekonomi.

Beliau menyeru agar rakyat Sarawak memperlihatlkan keberanian dan kerajinan dalam menghadapi cabaran ekonomi supaya dapat muncul lebih kuat selepas episod yang diharungi susulan Covid-19.