KUCHING: Sebanyak  82,000 ketua isi rumah  dan 40,000 individu bujang yang membuat rayuan dan memenuhi kriteria bakal menerima Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS), kata Ketua Menteri semalam.

Menurut Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, berdasarkan rayuan yang diterima pada tarikh tutup 31 Mei lalu, kira-kira 82,000 ketua isi rumah dan 40,000 individu bujang B40 memenuhi kriteria yang telah ditetapkan dan layak mendapat bantuan ini. 

“Justeru, saya  mengumumkan bayaran khas RM250 sebulan untuk tempoh enam bulan kepada 82,000 ketua isi rumah B40 yang telah berjaya dalam rayuan,” katanya dalam ucapan penggulungan Belanjawan Sarawak 2021 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini,  semalam. 

“Sebahagian pembayaran akan dibuat dalam tahun ini dan selebihnya pada tahun hadapan,” jelas beliau yang juga Menteri Kewangan dan Perancangan Ekonomi. 

Kata Abang Johari lagi, 40,000 individu bujang B40 yang berjaya dalam rayuan akan dibayar secara sekali bayar RM500 pada bulan Disember  ini.

Jelasnya, melalui kelulusan ini, secara keseluruhannya, Kerajaan GPS Sarawak membelanjakan sejumlah RM943 juta yang mana RM800 juta telah dibayar melalui senarai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). 

Katanya, sebanyak RM143 juta akan dibayar kepada 82,000 ketua isi rumah dan 40,000 individu bujang B40 yang tercicir tetapi layak menerima bantuan ini. 

“Ini bermakna di bawah BKSS Kerajaan GPS membayar sejumlah RM943 juta kepada 479,000 ketua isi rumah dan 432,000 individu bujang B40, iaitu 921,000 rakyat Sarawak, yang tertinggi bantuan dalam kalangan negeri-negeri dan kedua terbesar selepas bantuan Prihatin Nasional,” katanya. 

Beliau berkata, kerajaan GPS telah membayar sejumlah hampir RM800 juta kepada 397,000 isi rumah dan 392,000 individu bujang B40 yang layak mendapat BKSS B40.  

Menurut beliau, bantuan ini telah mengurangkan beban kewangan mereka dalam menghadapi kesusahan akibat penularan pandemik Covid-19.