Pindaan RUU  diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam dengan sokongan majoriti selepas dibentangkan semula serta dibahas beberapa ahli Dewan UYndangan Negeri.

Sehari sebelumnya, Adun Kota Sentosa cuba menarik perhatian dengan mendakwa kerajaan Sarawak cuba menjual Sarawak.

Chong cuba menjadikan dirinya hero sedangkan hasrat dan tujuan pindaan itu dibentangkan adalah untuk melindungi Sarawak

Jelas pembangkang cuba mewujudkan persepsi  negatif dan salah hasrat sebenar RUU berkenaan.

Pembangkang cuba mengelirukan pentafsiran peruntukan-peruntukan berkaitan Akta Imigresen yang memberi mandat kepada Kerajaan Negeri  mempunyai kawalan eksklusif kemasukan dan kependudukan di negeri ini.

RUU berkenaan  dibentangkan pada Selasa lalu bertujuan mentakrifkan  ‘penduduk di negeri ini’ bagi menghalang ‘penyusupan’ bukan rakyat Sarawak dan yang tidak tinggal secara tetap di Sarawak daripada  bertanding  sebagai calon.

Namun, hasrat murni kerajaan itu telah diputar belit oleh pembangkang.

Pembangkang telah membuat tuduhan menyakitkan, mengatakan Kerajaan Sarawak membuka jalan kepada bukan rakyat Sarawak menjadi calon dan dipilih menjadi ahli dewan ini.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah telah menarik balik RUU berkenaan yang dibentangkannya pada Selasa.

Ini bagi mengelak rakyat keliru dengan kenyataan pembangkang kerana tujuan dan objektif sebenar pindaan Perkara 16 Perlembagaan Negeri Sarawak adalah untuk melindungi hak Sarawak.

Apakah inti pati dan tujuan sebenar pindaan berkenaan?  RUU berkenaan  meminda Perkara 16 Perlembagaan Negeri Sarawak.

Dengan lulusnya pindaan berkenaan semalam, hanya anak jati Sarawak berhak bertanding dalam pilihan raya di negeri ini.

Rakyat Sarawak yang berumur 18 tahun kini boleh mengundi dan dipilih sebagai Adun berbanding umur 21 tahun sebelum ini. RUU Ini selaras dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang dilakukan sebelum ini.

Kelulusan RUU itu juga menetapkan hanya anak jati Sarawak atau penduduk asal Sarawak yang lahir di Sarawak atau rakyat Sarawak yang lahir di luar Sarawak dan sama ada ibu atau bapa mereka rakyat Sarawak layak dipilih sebagai Adun. 

“Ini bagi menyelaraskan Perlembagaan Negeri Sarawak dengan pindaan Perkara 47(b) dan Perkara 119(1) (a) Perlembagaan Persekutuan yang menurunkan had umur kelayakan untuk dipilih menjadi Ahli Dewan Rakyat atau untuk mengundi dari 18 kepada 21 tahun,” kata Abdul Karim di DUN.

Abdul Karim yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata Perkara 16 Perlembagaan mematuhi peruntukan mandatori dalam Seksyen 5, Jadual Lapan Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan kelayakan ADUN.

Jelas beliau lagi, di bawah Perkara 16 Perlembagaan Negeri Sarawak, salah satu kelayakan untuk dipilih sebagai Adun ialah warganegara itu mesti penduduk di Sarawak selain mencapai umur kelayakan (ditetapkan).

“Bagaimanapun ungkapan perkataan ‘penduduk di negeri ini’ tidak didefinisikan sama ada dalam Perkara Lapan Perlembagaan Negeri (Sarawak) tetapi istilah tempat tinggal dan kependudukan (pemastautin) ditentukan oleh mahkamah bermaksud sesiapa sahaja yang tinggal di tempat tertentu dengan pasti selain daripada ketidakhadiran sementara atau disengajakan,” jelasnya.

Beliau menjelaskan, Kerajaan Negeri bimbang dengan pentafsiran kehakiman digunakan, mana-mana bukan rakyat Sarawak dari negeri lain dalam Persekutuan (Malaysia) yang tinggal di negeri ini atas sebab mempunyai permit kerja sah atau berkhidmat dalam Perkhidmatan  Awam Persekutuan atau Polis atau Angkatan Tentera layak dipilih sebagai Adun.

Ujarnya lagi, pentafsiran kehakiman itu juga akan membolehkan ahli politik dari negeri-negeri lain datang dan tinggal sementara di negeri, mendakwa mereka penduduk di negeri ini.

“Kerajaan negeri tidak mahu orang dari luar Sarawak campur tangan dalam hal ehwal kita dan memainkan sebarang peranan dalam menentukan nasib negeri kita,” tegasnya.

“Dasar Utama Kerajaan Negeri Sarawak ialah memastikan kepentingan Sarawak mesti dilindungi oleh rakyat Sarawak dan orang luar tidak seharusnya datang membawa ‘jenama’politik mereka yang dapat menggugat kestabilan negeri kita serta menjejaskan keharmonian dan perpaduan rakyat,” tambahnya.